UKM Hasilkan Lebih 200 Produk Penyelidikan sejak 46 Tahun Penubuhan

1
Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Gambar oleh Abd Raai Osman

BANGI, 27 September 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menghasilkan lebih 200 produk, hasil daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D), sejak 46 tahun penubuhannya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan Dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar berkata daripada jumlah itu, 10 peratus daripadanya berjaya di komersialkan ke peringkat Persidangan Usahawan Global, dengan sedikit pengeluaran perbelanjaan.

Beliau berkata di negara- negara maju, hanya lima peratus sahaja produk R&D yang dihasilkan sampai ke peringkat pengkomersialan.

“Usaha ini harus sentiasa di pertingkatkan dari semasa ke semasa dan kerajaan perlu memberi peluang dengan mewujudkan ekosistem penyelidikan yang kondusif bagi mengkomersialkan produk yang berkualiti,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Perlesenan Teknologi antara UKM Technology Sdn Bhd dengan Mobile Harvesters Malaysia Sdn Bhd di sini baru baru ini.

Melalui perjanjian tersebut UKM bersedia membantu menjayakan visi utama syarikat Mobile Harvester untuk menyediakan produk daripada sarang burung walit yang berkualiti tinggi, bersih dan diterima pasaran.

Dato’ Mazlin berkata, beliau yakin Mobile Harvester akan terus mencipta kejayaan dalam bidang tersebut melalui pematuhan Amalan Baik Pengeluaran (GMP) menerusi penyediaan kemudahan bilik bersih (clean room) serta makmal kawalan dan jaminan kualiti.

Selain itu, teknologi yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidikan yang diketuai oleh Prof Dr Abdul Salam Babji akan berupaya mempercepatkan proses penghasilan Edible Bird Nest (EBN) hydrolysate berbanding kaedah yang sedia ada sekarang.

“Saya berharap kerjasama ini akan menghasilkan lebih banyak lagi penyelidikan yang berkualiti tinggi dan boleh dipasarkan di masa-masa akan datang, malah syarikat Mobile Harvesters akan lebih berdaya saing dalam menerajui industri sarang burung walit di Malaysia,” katanya.

Hadir sama di majlis tersebut adalah Pengarah Urusan Mobile Harvesters, Lim Ed Win.ukmnewsportal-bm

2

3