UKM Iktiraf Penyelidik Komersil Produk Penyelidikan


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 19 Disember 2022 Seramai 21 orang penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dinobatkan sebagai penerima anugerah di Majlis Apresiasi Pengkomersialan UKM 2022 sebagai penghargaan di atas kecemerlangan dalam merancakkan aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan.

Penerima anugerah terbahagi kepada dua kategori utama iaitu Anugerah Apresiasi Pengkomersialan peringkat PTj dan Anugerah Apresiasi Teknousahawan (kategori individu mengikut niche penyelidikan).

Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Johan Idris berkata pencapaian Pusat Tanggungjawab (PTj) dan penyelidik UKM telah memberi sumbangan yang besar kepada penjanaan dan penilaian MyRA UKM 2019-2022.

“Penerokaan kepakaran pelbagai bidang warga UKM diterjemahkan di dalam penghasilan produk atau teknologi bermutu tinggi yang telah dikomersialkan ini diharap dapat memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.

“Saya percaya pengiktirafan yang diberikan ini akan menjadi inspirasi kepada semua warga universiti untuk terus menyumbang kepada kecemerlangan pengkomersialan penyelidikan berkualiti tinggi yang dihasilkan di UKM,” katanya.

Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (INOVASI@UKM) ini turut memperkenalkan Portal UKM ACE yang merupakan platform dalam talian bagi membolehkan pihak industri dan masyarakat umum mengakses hasil inovasi terkini UKM di mana-mana sahaja.

Rentetan Majlis Apresiasi Pengkomersialan UKM, turut berlangsung program Innovation & Commercialisation Conference UKM 2022 (ICCon 2022) yang dirasmikan oleh Datuk Johan Idris.

Melalui program ini, penyelidik berpeluang membentangkan dan berkongsi hasil penyelidikan yang telah dibangunkan hasil daripada matching grant bersama pihak industri melalui Dana Inovasi dan Dana L2Market.

Datuk Johan Idris berharap agar penyelidikan yang telah dibangunkan membuahkan hasil yang diharapkan, dan sekaligus memberi manfaat kepada semua peserta dan pihak berkepentingan dalam aspek R&D dan inovasi.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor, Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, Pro Naib Canselor, Strategi dan Pembangunan Korporat Prof. Dr. Roslee Rajikan dan Pengarah INOVASI@UKM Prof. Madya Dr. Wan Mohd Hirwani Wan Hussein.