UKM, Infineon Jalin Kerjasama Pelestarian Rawatan Air Sisa Industri


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

BANGI, 9 Mei 2022 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui  Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama Infineon Technologies (Kulim) Sdn. Bhd bagi menjalankan penyelidikan dan inovasi berkaitan rawatan air sisa industri berasaskan kelestarian alam sekitar.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad berkata perjanjian tersebut akan menyokong Key Economic Growth Activities (KEGA) 12: Ekonomi Hijau dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 12 yang akan mewujudkan ekonomi menyeluruh untuk membangunkan pelan pemulihan dan membina masa depan yang lebih mampan.

“Saya percaya dengan aktiviti yang akan dilakukan bersama, satu tindakan bersistematik di dalam pengurusan air sisa industri semikonduktor dapat diambil dalam memastikan fokus Malaysia ke arah kelestarian alam sekitar.

“Melalui perjanjian ini, penyelidikan berkaitan rawatan air sisa industri berasaskan kelestarian alam sekitar terus giat dilaksana dan dimanfaatkan untuk kesejahteraan masyarakat dan negara.

“MoA UKM-Infineon ini adalah bertepatan dengan naratif baharu UKM, prakarsa advokasi di bawah i-Minda, yang mana hubungan strategik dan mapan dijayakan bersama bagi menyelesaikan masalah melalui satu kerangka pemikiran yang mantap,” katanya.

Kerjasama seperti ini juga dapat memberikan penyelidik UKM dimensi baharu melalui sumbangan idea dan sumbang saran pihak-pihak yang berkepentingan dalam sesuatu bidang tujahan penyelidikan, tambahnya.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Kewangan Infineon Technologies (Kulim) Sdn. Bhd., Kam Ai Mei dan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM, Prof. Dato’ Ir, Dr. Wan Hamidon Wan Badaruzzaman.