UKM Jadikan Sekolah Kebangsaan Di Johor Sekolah Angkat

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

KOTA TINGGI, JOHOR, 1 July 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadikan Sekolah Kebangsaan (SK) Nam Heng, Kota Tinggi sebagai sekolah angkat selama lima tahun bermula tahun lepas hingga tahun 2020.

Pengarah Eksekutif Pentadbiran UKM, Abd Razak Hussin berkata usaha yang dilakukan oleh UKM dalam menjadikan SK Nam Heng sebagai sekolah angkat adalah untuk membantu sekolah itu dan penduduk sekitar yang serba kekurangan.

“Seluruh warga UKM bersama-sama berganding bahu dalam membantu sekolah ini kerana kami merasakan sekolah ini perlu dibantu dan akan terus dibantu. Sebab itu saya meminta penganjur menjemput wakil-wakil dari fakulti untuk hadir ke majlis ini dan melihat apakah lagi bentuk bantuan yang boleh disalurkan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Berbuka Puasa dan Ramah Mesra UKM-SKNH di sini pada 18 Jun lalu.

Pada majlis itu, UKM melalui Unit Zakat menyampaikan sumbangan bernilai RM5,000 kepada SK Nam Heng.

Seramai 27 pelajar dan 33 penduduk di Ladang Nam Heng turut menerima bantuan daripada Unit Zakat UKM.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Unit Zakat yang telah menyediakan bantuan kewangan dalam membantu sekolah dan penduduk di ladang tersebut.

“Sudah pasti majlis ini tidak dapat disempurnakan tanpa bantuan kewangan yang kukuh daripada Unit Zakat. Saya berharap agar hubungan antara UKM dengan SK Nam Heng akan terus terjalin erat,” tambah beliau.

Sementara itu, Guru Besar SK Nam Heng, Kamaruddin Asrap berkata kerjasama berterusan yang dijalankan antara UKM dengan SK Nam Heng antara lainnya adalah untuk mencapai kecemerlangan akademik.

“Selain itu, penduduk di sekitar sekolah ini juga akan mendapat sesuatu yang istimewa hasil daripada kerjasama ini,” katanya.

Beliau berharap agar kerjasama itu akan berjalan lancar dan pihak sekolah akan dapat bergerak dengan lebih sempurna dan teratur demi memastikan kejayaan pelajar dan masyarakat secara keseluruhannya di ladang tersebut.

“Sumbangan yang diberikan oleh UKM adalah sangat bernilai kerana kami tidak akan mampu mengadakan sesuatu yang istimewa tanpa sumbangan besar ini,” katanya.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Abdul Aziz Tohak mengucapkan terima kasih kerana UKM telah memilih sebuah sekolah kampung di Johor dalam menjadikan sekolah angkat.

“Walaupun UKM berada jauh di Bangi, Selangor, tetapi mereka tetap datang ke kampung ini. Apa yang paling penting adalah ikatan antara UKM dan seluruh pentadbiran dengan penduduk kawasan ini dapat terjalin dengan erat,” katanya.ukmnewsportal-bm
4

2