UKM Jalin Kerjasaman dengan BRAINet dan SK Innovation Hasilkan Modul P&P Informal STEM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 27 Julai 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) telah menjalin kerjasama dengan BRAINet (M) Sdn. Bhd. dan SK Innovation Sdn. Bhd. bagi menghasilkan modul pengajaran dan pembelajaran informal STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) selaras dengan sukatan pembelajaran dan keperluan pendidikan abad ke-21.

Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, modul interdisiplin dalam Bahasa Melayu yang dihasilkan melalui kerjasama itu berasaskan kepada intervensi kejuruteraan yang dapat memberi peluang kepada pelajar-pelajar di seluruh negara untuk memperhalusi pendidikan STEM dengan lebih holistik dan praktikal.

“Modul yang dihasilkan ini turut dipadankan dengan alat bantu mengajar selaras dengan trend pendidikan semasa,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UKM dengan BRAINet (M) Sdn. Bhd. dan SK Innovation Sdn. Bhd.

Beliau berkata, kerjasama seumpama ini adalah selari dengan keperluan era industri 4.0 iaitu STEM sebagai sektor industri yang baru pada abad yang berupaya membuka peluang pekerjaan baharu kepada graduan.

“Saya berharap inisiatif ini akan menjadi platform penyampaian ilmu yang lebih berkesan serta menyemai minat generasi muda dan melahirkan modal insan terlatih dalam bidang STEM,”tambah beliau.

Katanya, kerjasama itu akan memberi perhatian dalam mewujudkan pusat-pusat pengajaran STEM dalam pelbagai bentuk yang sesuai dengan keperluan masyarakat.

“Salah satu daripada model keusahawanan yang dibangunkan adalah STEM Transit Centre, dimana pelatih akan membawa peralatan dan modul pengajaran secara informal ke sesuatu lokasi mengikut keperluan.

Model ini diyakini akan memberi peluang kepada lebih ramai kanak-knak dalam lingkungan umur 4 hingga 15 tahun, khususnya di luar bandar dalam menguasai ilmu STEM pada kos yang berpatutan,”ujar beliau.

Selain itu, ujarnya wanita yang mempunyai latar belakang dalam bidang STEM yang berkecimpung dalam penjagaan kanak-kanak lingkungan umur 4 hingga 12 tahun juga digalakkan menerokai pengusahaan STEM Transit Centre tersebut.

Saya berharap agar penubuhan STEM Transit Centre akan menjadi medium penyebaran ilmu STEM kepada sebahagian besar masyarakat di negara ini, katanya.

Kerjasama itu juga turut melibatkan latihan kepada kumpulan graduan dalam menghasilkan modul pengajaran STEM interdisiplin dengan menggunakan intervensi kejuruteraan.