UKM, Kedutaan Thailand Terus Jalin Kerjasama

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 22 Sept 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kedutaan Thailand terus menjalin kerjasama selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalankan penyelidikan di UKM dan institusi pendidikan di Thailand.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata kerjasama untuk kali ketiga ini akan menumpukan kepada penyelidikan di semua fakulti terutamanya di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan serta Fakulti Sains dan Teknologi.

“Kerjasama ini penting kerana ia mampu untuk meningkatkan pemahaman warga kampus tentang Thailand. Dana yang diberikan oleh Kedutaan Thailand membuktikan bahawa mereka menyokong sepenuhnya projek yang kita jalankan yang dikenali sebagai Thai Window,” katanya pada majlis tandatangan tersebut di sini semalam.

Katanya, beliau percaya hubungan erat antara UKM dan Thailand bukan sahaja dapat meningkatkan akademik para pelajar malah memberi kesan positif kepada bidang industri dan pentadbiran awam.

“Untuk kerjasama yang akan datang, ia akan lebih menarik kerana saya menjangkakan akan berlaku pertumbuhan dalam mobiliti pelajar dan staf, penerbitan hasil penyelidikan, seminar dan persidangan serta latihan pendidikan.

“Jadi, saya mewakili pihak UKM mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kedutaan Thailand kerana mempercayai kebolehan UKM dalam melaksanakan penyelidikan dan sudi memberi dana kepada kami. Saya yakin program ini akan mempunyai masa depan yang cerah,” katanya.

Beliau berkata hubungan antara UKM dan Thailand akan dapat dieratkan lagi pada masa akan datang.

MoU itu ditandatangani oleh Prof Noor Azlan dan Duta Thailand ke Malaysia, Damrong Kraikuan.

Pada majlis tersebut, Kedutaan Thailand telah menyerahkan cek bernilai RM83,000 kepada UKM bagi menjalankan beberapa program dan kajian.ukmnewsportal-bm

2

3

4

5

6