UKM Kini 48 Tahun


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 18 Mei 2018 – Hari ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) genap 48 tahun.

Pelbagai onak, duri, suka dan duka telah ditempuhi warga UKM terutamaya mereka yang banyak menabur jasa dalam pembangunan sebuah universiti yang memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa pengantar.

Naib Canselor, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, sepanjang 48 tahun ini, UKM menghadapi cabaran yang cukup besar.

“Cabaran yang dihadapai itu termasuklah dalam melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran yang tinggi dan profesional, berakhlak tinggi dan melahirkan komuniti pelajar dan siswazah yang bersatu padu dalam masyarakat berbilang bangsa.

“Untuk mencapai hasrat ini dan memenuhi kepentingan setiap pelajarnya, UKM sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, kemahasiswaan di semua peringkat sesuai dengan keperluan semasa,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Sambutan 48 Tahun UKM, baru-baru ini.

Beliau berkata, dengan bertunjangkan asas yang mantap, tahun ini UKM telah memperkukuhkan lagi tekad untuk meningkatkan inisiatif strategik melalui menwujudan Tekad 18.

“Tekad 18 ini diharap akan dapat mempercepatkan lagi usaha UKM untuk mencapai inisiatif yang digariskan oleh enam KRA UKM.

“Dengan asas yang kukuh dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan khidmat, saya yakin UKM akan terus berjaya mengharungi segala cabaran dan berdiri megah sebagai universiti terkemuka dunia,” jelas beliau.