UKM Komited Pulihara Warisan Negara


Oleh Ummu Umairah Ahmad Shukri
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 25 0ktober 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) komited dalam usaha memperkasakan sumbangan kepada gagasan ilmu dan amalan berkaitan pemuliharaan warisan secara warisan tabi’ dan budaya.

Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, dengan memupuk amalan pemuliharaan itu, pendedahan mengenai identiti dapat diberikan kepada generasi kini di samping mewariskan sejarah, identiti dan budaya kepada generasi akan datang.

“Usaha yang dilakukan oleh kumpulan penyelidikan UKM yang diketuai oleh Prof Dr Rahimah Abdul Aziz tentang warisan alam adalah menepati aspirasi universiti.

“Ia adalah selari dengan penyelidikan yang bersifat transnasional dan bertujuan memantapkan Governans, pemuliharaan warisan secara menyeluruh dan memastikan warisan bangsa terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Dialog Meja Bulat Governans Pemuliharaan Warisan: Pengkisahan Pewarisanan Pusaka, di Bilik Senat, Bangunan Pentadbiran baru-baru ini.

Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan berkata, lokasi yang dijadikan tempat tumpuan kajian kumpulan penyelidikan tersebut ialah di Langkawi UNESCO Global dan Melaka World Heritage Site.

“Melalui kajian yang dijalankan, 11 penerbitan telah berjaya diterbitkan dalam beberapa artikel ruangan khas Academia Planning Malaysia Journal dan dibukukan dalam Pelan Pengurusan Langkawi Geopark 2012- 2030,” katanya.

Katanya, Dialog Meja Bulat Governans Pemuliharaan Warisan itu diadakan tepat pada masanya kerana wujud laporan mengenai pemusnahan warisan bukan sahaja di negara ini tetapi juga di seluruh dunia.

“Pemusnahan ini bukan sahaja menghilangkan perkaitan antara generasi, sejarah dan budaya malah boleh menggugat identiti masyarakat yang tidak lagi memegang kepada pusaka sejati yang melambangkan adat, akal budi dan tatasusila masyarakat.

“Oleh itu, amalan pemuliharaan dapat dipupuk sejak awal dalam sektor swasta dan sektor awam terutamanya dalam pembuatan dasar dan keputusan,” ujar beliau.

Sementara itu, Pro-Canselor UKM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang merasmikan dialog itu menzahirkan kerisauan terhadap pemusnahan warisan merangkumi landmark dan tempat-tempat bersejarah disebabkan keuntungan pihak tertentu.

Beliau juga menegaskan dalam mengekalkan warisan yang sarat dengan memori ini, nilai dan kepentingannya perlu difahami sebelum diserahkan kepada generasi seterusnya.