UKM Kongsi Kepakaran Bidang Kaunseling dengan MAINS


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 1 April 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Pendidikan berkongsi kepakaran dalam bidang kaunseling dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dalam usaha mempertingkatkan kualiti perkhidmatan Pusat Kaunseling MAINS.

Dekan Fakulti Pendidikan (FPEND), Prof. Dato’ Dr Noor Azah Mohd Nordin berkata, dalam keadaan dunia yang semakin mencabar, khidmat sokongan psikososial dalam bentuk bimbingan dan kaunseling sudah menjadi satu keperluan yang sangat penting dalam usaha membangunkan masyarakat madani.

“Tahniah kepada MAINS yang mewujudkan satu-satunya Pusat Kaunseling secara percuma yang ditadbir urus oleh mereka sendiri (MAINS) untuk menangani isu-isu yang berkisar dalam masyarakat, bukan sahaja kepada masyarakat Negeri Sembilan, tetapi juga negeri-negeri lain,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan MAINS di Bilik Majlis, Bangunan Pentadbiran, baru-baru ini.

Katanya beliau berharap,  hasrat UKM dan MAINS untuk memartabatkan profesion kaunseling dalam aspek-aspek pendidikan, penyelidikan dan aktiviti komuniti akan dapat memberi manfaat yang besar dan berpanjangan kepada masyarakat.

Tiga fokus utama dalam MoU itu ialah perkongsian pintar program pendidikan kaunseling diperingkat pascasiswazah, menjalinkan kerjasama penyelidikan kaunseling dalam komuniti dan pertukaran maklumat menerusi penerbitan bersama.

Melalui persefahaman yang terjalin itu, kedua-dua pihak akan berkongsi kepakaran dan pengalaman, mengamal profesion bidang kaunseling dalam persekitaran komuniti dan pengukuhan jalinan kerjasama di bawah organisasi kerajaan negeri dan jaringan UKM dengan pihak luar.

Pada majlis MoU tersebut, Setiausaha MAINS, Dato’ Ahmad Kamal Kamarudin mewakili MAINS manakala Prof. Dato’ Dr. Noor Azah mewakili UKM.