UKM Kurangkan Yuran Pendaftaran Pelajar Baharu Semester 1 Sesi Akademik 2020/2021

Oleh Asmahanim Amir

Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 1 Februari 2021 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membuat pengurangan yuran pendaftaran kepada pelajar baharu Semester 1 Sesi Akademik 2020/2021.

Pengurangan ini melibatkan pelajar hanya perlu membayar sebanyak RM850 berbanding dengan RM1200 sebelum ini. Dengan pengurangan ini, setiap pelajar akan menerima pemulangan wang mereka berjumlah RM350.

Seramai 3,854 orang pelajar tahun 1 yang mendaftar di UKM pada Oktober 2020 tahun lepas terlibat dengan pemulangan ini dengan nilai keseluruhan berjumlah sebanyak RM1.34 juta. Nilai pemulangan yang besar ini mengambilkira pelbagai aspek yang berkaitan.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman berkata pengurangan yuran pendaftaran pelajar baharu Semester 1 Sesi Akademik 2020/2021 dibuat memandangkan pandemik COVID-19 yang melanda negara yang menyebabkan para pelajar tidak dapat mengikuti aktiviti minggu mesra mahasiswa baharu secara bersemuka.

“UKM amat prihatin dan memandang serius perkara ini terutamanya kekangan pelajar yang tidak dapat hadir ke kampus secara fizikal kerana pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berharap agar pengurangan yuran tersebut akan dapat meringankan beban yang dihadapi oleh pelajar yang terkesan pada ketika ini serta dapat melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Kebajikan para pelajar sentiasa menjadi keutamaan UKM dalam memastikan pelajar dapat terus mengikuti pengajaran dan pembelajaran dengan selesa dalam tempoh yang sukar ini.

Pemulangan ini juga selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi yang meminta setiap Institusi Pengajiaan Tinggi Awam (IPTA) mengambil inisiatif bagi mengurangkan beban pelajar dan ibu bapa.

Memandangkan Semester 2 Sesi Akademik 2020/2021 akan  bermula pada bulan Mac ini, UKM telah membuat ketetapan bahawa pengurangan yuran tidak dilakukan secara pemberian tunai, tetapi sebaliknya akan membuat penolakan terhadap yuran semester yang akan datang.

Namun begitu, pengecualian boleh diberikan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan pemulangan tunai tertakluk kepada pelajar mengemaskinikan maklumat akaun bank.

Sekiranya terdapat pelajar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengurangan yuran tersebut, mereka boleh berhubung dengan Bahagian Kewangan Pelajar melalui e-mel ukpbendahari@ukm.edu.my.