UKM Lancar Bulan Wakaf Wanita dan Wakaf Emas


Oleh Mohamad Arif Haziq Mohamad Musri
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 6 Mac 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), buat julung kalinya telah melancarkan Bulan Wakaf Wanita dan Wakaf Emas yang bertujuan untuk meraikan golongan wanita sempena Hari Wanita Sedunia.

Program yang  menjadi sebahagian daripada Sambutan Jubli Emas UKM itu telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Pelajar dan Masyarakat), Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah di Persada Canselori, Bangunan Canselori, baru-baru ini.

“Bulan Mac dipilih sebagai Bulan Wakaf Wanita sempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang diraikan pada 8 Mac setiap tahun.

“Pihak Yayasan Canselor juga turut memperkenalkan produk wakaf terbaharu iaitu Wakaf Emas buat warga UKM atau orang luar yang ingin mewakafkan emas milik mereka,” kata Prof Dato’ Dr. Imran.

Bersempena Bulan Wakaf Wanita tersebut, pihak Yayasan Canselor telah menyusun pelbagai aktiviti menarik seperti forum wanita, ceramah mengenai kesihatan wanita serta program pemeriksaan wanita dan derma darah.

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Yayasan Canselor, Prof Madya Dr Mohd Fairuz Mohd Salleh, Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita, Prof Datin Dr Norizan Abdul Razak dan Pengarah Pusat Islam UKM, Dr Abdull Rahman Mahmood.