UKM Lancar Kampus Tanpa Tunai, Mudahkan Urus Niaga


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 30 Januari 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Kampus Tanpa Tunai yang menawarkan pelbagai kaedah pembayaran bagi memastikan urus niaga lebih cepat dan efisien.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata pelaksanaan kaedah itu bukan sahaja dapat memudahkan pelanggan, malah juga dapat memantau rekod kewangan secara sistematik.

Beliau berkata antara aplikasi tanpa tunai yang digunakan di premis perniagaan di UKM ialah QR DuitNow, Maybank QRpay, Touch & Go eWallet, Shopee Pay, Grab Pay dan Boost.

“Pengguna juga tidak perlu menanggung risiko membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak kerana pembayaran dapat dilakukan terus menerusi platform perbankan pilihan pelanggan,

“Selain itu, kaedah pembayaran tanpa tunai diyakini lebih cepat dan selamat memandangkan pengguna boleh membuat pembayaran pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada,” katanya dalam kenyataan hari ini, sempena perasmian program Kampus Tanpa Tunai di universiti berkenaan, semalam.

Menurut Mohd Ekhwan, pelaksanaan Kampus Tanpa Tunai itu selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang ingin melonjakkan pelan pendigitalan KPT sedia ada agar proses pendigitalan dapat direalisasikan demi kebaikan semua.

Katanya, UKM juga menubuhkan Jawatankuasa Pelaksana Kampus Tanpa Tunai pada 2020 dan bergerak secara aktif sehingga kini bagi menjayakan hasrat itu.

Beliau berkata inisiatif berkenaan juga mendapat kerjasama PayNet yang memastikan pelaksanaan kaedah terimaan bayaran melalui QRPay diguna pakai di UKM.

“Semua pusat penerimaan dan pengurusan kewangan di Pusat Tanggungjawab universiti tidak dibenarkan menerima tunai di kaunter selain daripada Kaunter Hasil, Jabatan Bendahari.

“Kini, inisiatif ini diperluas dan diguna pakai oleh premis perniagaan di UKM dengan peniaga diwajibkan menyediakan sekurang-kurangnya satu kaedah pembayaran tanpa tunai bermula 1 Februari,” katanya.