UKM–MAIWP Jalin Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan, Penyelidikan dan Komuniti


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Kamarul Arifin Mohd Sanusi

BANGI, 16 Februari 2022 – Kerjasama antara Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan memberi fokus kepada tiga aspek utama iaitu bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan komuniti.

Kerjasama tersebut dijalin melalui Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat), Prof. Dato’ Dr. Norazah Nordin dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Mohd Nizam Hj Yahya.

Prof. Dato’ Dr. Norazah berkata dalam bidang pendidikan beberapa sasaran utama akan diberi tumpuan antaranya menubuhkan Centre of Excellence (CoE) sebagai pusat pembangunan professional guru-guru di MAIWP.

“UKM akan membantu dalam membangunkan modul dan melaksanakan kursus peningkatan profesionalisme dalam kalangan guru-guru MAIWP yang melibatkan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21, kepimpinan, pengurusan bakat guru, pengurusan dan pentadbiran sekolah.

“Sebagai peneraju kepada pembudayaan STEM negara, pakar-pakar STEM di Fakulti Pendidikan juga akan turut menyediakan latihan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada guru-guru dan pelajar MAIWP bermula daripada peringkat pra sekolah, sekolah menengah dan tetiari (pengajian tinggi).

“Selain itu, MoU ini turut melihat kepada pembangunan kerangka latihan kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada guru dan pelajar di Institut Baitulmal dan Darul Kifayah serta melaksanakan kajian pembangunan diri pelajar yang melibatkan kesejahteraan mental, kemahiran keusahawanan, kemahiran generik dan laluan kerjaya pelajar MAIWP,” katanya

Beliau turut berharap MoU ini dapat memperkemaskan lagi program pengantarabangsaan MAIWP, melaksanaan program sangkutan guru dan program mobiliti pelajar MAIWP ke UKM serta melaksanakan rundingan khidmat kepakaran dalam membangunkan strategi pendidikan MAIWP.

Dalam majlis yang sama, MAIWP turut menyampaikan sumbangan bantuan komputer riba kepada pelajar-pelajar UKM yang terdiri dari golongan asnaf dan B40 bernilai RM170 ribu.

Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar dalam ucapannya berkata MAIWP meletakkan pendidikan menjadi keutamaan dalam mentransformasikan keluarga asnaf dan B40.

“Lantaran itu, pada setiap tahun MAIWP telah menetapkan jumlah agihan yang cukup besar dalam pendidikan. Sebagai contoh, pada tahun ini jumlah agihan dalam bidang pendidikan adalah sebanyak RM176.8 juta.

“Zakat bukan sekadar berfungsi sebagai suntikan penenag yang boleh meringankan derita untuk beberapa saat tetapi sebagai ubat menyembuh yang boleh membasmi penyakit hingga akar umbinya,” katanya.