UKM Melonjak Kedudukan Ke-138 THE Asia University Rankings 2022


Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 8 Jun 2022Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melonjak ke kedudukan 138, iaitu meningkat 12 anak tangga berbanding kedudukan ke-150 pada tahun lepas dalam penarafan Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2022 yang diumumkan baru-baru ini.

Penilaian ini merangkumi lima indikator iaitu Citations, Industry Income, International Outlook, Research dan Teaching, sekaligus meletakkan UKM di tangga ke-3 berbanding ke-5 dalam kalangan universiti terbaik di Malaysia.

Dalam lima indikator tersebut, UKM mendapat penilaian terbaik universiti di Malaysia bagi indikator Teaching dengan perolehan markah sebanyak 43.8, manakala indikator International Outlook menunjukkan peningkatan yang paling tinggi iaitu dari penilaian 49.3 pada tahun lepas kepada 64.3 pada tahun ini.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, UKM merupakan salah sebuah universiti di Malaysia yang mencatatkan peningkatan ketara dalam THE Asia University Rankings pada tahun ini, selepas Universiti Teknologi Petronas yang naik 16 anak tangga.

“Walaupun memartabatkan bahasa Melayu kekal sebagai agenda utama, UKM tidak pernah mengabaikan elemen pengantarabangsaan yang tidak kurang pentingnya dalam mengekalkan reputasi institusi ini di persada dunia.

“Jika dilihat kenaikan yang ketara bagi indikator International Outlook itu, saya pasti impaknya akan lebih besar selepas pembukaan kampus cawangan UKM di Qatar Oktober nanti,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian dalam THE Asia University Rangkings tahun ini menunjukkan bahawa UKM berada pada landasan yang betul, selain hala tuju universiti itu dalam meningkatkan kualiti dan pelaksanaan pelan strategik di bawah kerangka TERAS (Talent, Ethic, Revitalise, Agile dan Soul).

“Penarafan universiti adalah salah satu daripada banyak instrumen untuk menanda aras sesebuah institusi pengajian tinggi. Saya percaya jika kita terus mengukuhkan asas dalam penyelidikan, pendidikan dan perkhidmatan, kedudukan yang lebih baik akan membuahkan hasilnya.

“Penghargaan saya tujukan kepada seluruh warga UKM iaitu profesor, pensyarah, pengurusan, kakitangan dan pelajar atas segala usaha dan sumbangan yang besar dalam memastikan UKM sentiasa berada diantara universiti terbaik Asia, khasnya Malaysia,” katanya.