UKM Menang Tiga Anugerah Buku Negara 2016


Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 29 Disember 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merangkul tiga anugerah berprestij sempena Anugerah Buku Negara 2016 yang diadakan baru-baru ini.

Tiga anugerah itu adalah Anugerah Buku bagi kategori Sains Sosial melalui buku Persekutuan Malaysia 1961-1966: Penubuhan dan Cabaran yang ditulis oleh Dr Mohd Shamsudin; Buku Mewah Terbaik iaitu Machincang Cambrian: Geoforest Park: Langkawi Geopark Malaysia yang disunting oleh Prof Dr Norhayati Ahmad, Prof Madya Dr Kamal Roslan dan Prof Dr Mohd Shafeea Leman dan Buku Terjemahan Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu melalui buku Keajaiban Alam Marin yang ditulis oleh Prof Dr Maimon Abdullah dan Prof Dr Norhayati Ahmad.

Pengerusi Penerbit UKM, Prof Dr Kamal Halili Hassan berkata Penerbit UKM akan terus menerbitkan buku-buku ilmiah berkualiti tinggi selaras dengan hasrat universiti untuk melahirkan generasi berilmu.

“Sebagai penerbit universiti awam, kita memang menerbitkan buku-berku bercirikan akademik.

“Setiap penerbitan buku akan melalui jawatankuasa sidang pengarang yang terdiri daripada para profesor.

“Mereka yang akan meluluskan setiap penerbitan dan kita akan pastikan buku-buku tersebut adalah berkualiti,” katanya.

Beliau berkata untuk tahun-tahun akan datang, Penerbit UKM akan terus menerbitkan buku-buku yang mempunyai nilai saintifik dan estetika yang boleh dibaca oleh ahli akademik dan orang awam.

Beliau turut memberitahu bahawa kemenangan itu adalah antara kemenangan terbesar yang diraih oleh Penerbit UKM terutamanya bagi buku-buku mewah.

Sementara itu, Dr Mohd berkata bagi menghasilkan penulisan yang terbaik, beliau perlu berulang alik ke United Kingdom dan Australia bagi mengumpul bahan dan dokumen berkaitan Persekutuan Tanah Melayu.

“Jadi, anugerah yang diterima ini adalah sangat berbaloi dengan usaha dan cabaran yang dilalui sepanjang 10 tahun menyiapkan penulisan ini,” katanya.

Bagi Prof Dr Maimon, beliau tidak mengambil masa yang begitu lama untuk menterjemah buku Keajaiban Alam Marin.

“Keajaiban Alam Marin yang mempunyai 190 halaman adalah hasil terjemahan buku asal yang diterbitkan pada tahun 2013.

“Walaupun pengisian buku ini adalah berbentuk ilmiah, tetapi kita gunakan bahasa yang ringkas dan mudah difahami oleh rakyat kerana kita mahu mereka menghayati dan menghargai alam marin di negara ini,” katanya.