UKM Hasilkan Inovasi Injap Topeng Muka untuk Prosedur Endoskopik Pandemik COVID-19

Artikel dan gambar oleh Dr. Hardip Singh Gendeh, Pakar Bedah ENT, HCTM

Sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mencipta alat yang dikenali sebagai Face Mask Valve untuk mengurangkan penyebaran aerosol atau titisan kecil daripada saluran pernafasan yang mungkin mempunyai partikel virus COVID-19 semasa prosedur endoskopik ke atas hidung dan tekak dibuat ke atas pesakit ENT.

Alat ini adalah inovasi gabungan Dr. Hardip Singh Gendeh (Pensyarah dan Pakar Bedah ENT, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)), Prof. Dr. Salina Husain (Ketua Jabatan dan Pakar Bedah Kanan ENT), Dr Abdul Razak (pelajar sarjana ENT), dan Prof. Madya Dr Zainuddin Sajuri (Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB)).

Dengan diameter dua sentimeter, alat tersebut boleh dipasang pada topeng muka 3 ply atau 2 ply yang sedia ada. Ia mempunyai dua bahagian iaitu bahagian luar dan bahagian dalam yang boleh dikepilkan bersama. Terdapat satu injap atau valve di tengah alat ini yang diperbuat daripada plastik dan mempunyai garisan berlubang yang dihasilkan melalui potongan laser yang nipis.

Garisan berlubang ini membolehkan bahagian injap yang diperbuat daripada plastik tersebut memeluk endoskop yang dimasukkan melalui injap. Ini mengurangkan saiz lubang semasa skop dimasukkan melalui injap tersebut menerusi topeng muka yang dipakai oleh pesakit. Justeru, alat ini boleh digunakan bersama topeng muka di klinik dan sekaligus mengurangkan risiko penyebaran aerosol COVID-19.

Alat ini dihasilkan daripada barangan buatan tempatan yang mudah didapati dengan harga yang berpatutan. Klinik ENT boleh menjalankan prosedur endoskopik hidung dan tekak seperti biasa semasa perintah kawalan pergerakan di Malaysia yang disebabkan oleh peningkatan kes COVID-19.

Ciptaan ini boleh juga digunakan untuk pesakit yang mempunyai penyakit berjangkit lain (melalui titisan udara) seperti penyakit Tuberkulosis (TB) yang mana bakteria Mycobacterium Tuberculosis (M.tubreculosis) boleh tersebar melalui titisan daripada saluran pernafasan. Malah, alat ini boleh diubah suai oleh pakar perubatan gastroentrologi, pakar perubatan respiratori, pakar bius, dan pakar bedah semasa menjalankan prosedur endoskopik perut (gastroscopy) dan paru-paru (bronchoscopy) yang perlu dimasukkan melalui hidung atau mulut.

Injap topeng muka untuk endoskopik hidung dan tekak ciptaan UKM ini berpotensi untuk dikomersilkan bagi kegunaan industri perubatan awam dan swasta di Malaysia.

COVID-19 merupakan suatu virus bersaiz kecil dan boleh tersebar melalui titisan kecil atau mikroskopik di udara. Seseorang individu mudah dijangkiti COVID-19 apabila titisan kecil tersebut dihidu oleh pesakit. Virus tersebut akan masuk ke saluran pernafasan iaitu hidung, tekak, mulut dan seterusnya ke paru-paru.

Semasa pandemik COVID-19 melanda negara kita pada bulan Mac 2020, ramai pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) mengesyorkan untuk mengelakkan penggunaan alat endoskopik hidung dan tekak kerana khuatir virus COVID-19 boleh tersebar dan menjangkiti pakar bedah ENT dan pekerja kesihatan yang berada di sekeliling.

Terdapat juga pesakit COVID-19 yang dijangkiti virus tersebut tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala.  Ini menyebabkan diagnosis masalah hidung dan tekak menjadi sukar kerana prosedur endoskopik hidung dan tekak sering kali perlu dijalankan untuk melihat dan menilai keadaan di dalam hidung dan tekak.