UKM menjana RM1.8 Juta dari Danau Golf


Oleh Pusat Sukan UKM

BANGI, 28 Februari 2022 – Danau Golf Universiti Kebangsaan Malaysia (DGUKM) di bawah pengurusan  Pusat Sukan  Universiti   merupakan satu-satunya padang golf di Malaysia yang  diuruskan oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) di sesebuah institusi dan telah meraih penjanaan pendapatan dengan purata sebanyak RM1.8 juta dalam tempoh lima bulan pengoperasian.

Padang golf yang mempunyai 18 lubang, kolam renang awam bersaiz Olimpik, lapangan sasar (Driving Range 30 Bay), rumah kelab dan Pro Shop telah mempunyai 500 orang ahli yang terdiri daripada peminat golf di sekitar Lembah Klang.

Kemudahan sukan di DGUKM ini adalah salah satu kemudahan sukan yang disediakan oleh UKM kepada pelajar dan kakitangan serta tanggungjawab sosial Universiti kepada orang awam untuk bersukan dan menjalani gaya hidup sihat.

Bagi menarik lebih ramai peminat golf menggunakan DGUKM, Pusat Sukan Universiti telah melantik enam orang jurulatih bertauliah bagi membantu peminat-peminat sukan golf untuk mempelajari teknik-teknik yang betul dalam permainan sukan ini.

Danau Golf UKM turut mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi melatih dan memberi peluang kepada golongan remaja berkecimpung dalam industri Golf dan membina kerjaya melalui program Akademi Kemahiran Belia Golf bagi meningkatkan lagi kredibiliti sukan tersebut.

Pelbagai kejohanan telah berlangsung di Danau Golf UKM seperti PGAM Satellite Tour, Sports Excel Tournaments, Perodua World Amateur Championships dan terbaru Alumni UKM Lembah Pantai. Pertandingan Golf Alumni UKM Lembah Pantai adalah julung kali diadakan dan berjaya mengumpulkan 95 orang alumni Perubatan UKM.

Pertandingan golf itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi membiayai pembinaan Kompleks Alumni UKM selain mewujudkan ikatan silaturahim dalam kalangan pemain golf dan warga UKM serta membantu membiayai pelbagai keperluan UKM-Lembah Pantai dan Alumni secara keseluruhannya.