UKM Perlu Berani Berhadapan dengan Persoalan dan Pergolakan Dunia – Canselor UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 3 April 2021 – “UKM perlu terlibat dan berani terhadap persoalan dan pergolakan dunia, kerana universiti ini mempunyai pelbagai kepakaran yang dihormati,” titah DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir

Walau bagaimanapun, Baginda bertitah, penglibatan tersebut tidak harus mengalpakan tumpuan terhadap persoalan lokal, kerana isu-isu persoalan integriti, kejujuran dan amanah di pelbagai peringkat dalam negara, telah menyebabkan munculnya pelbagai permasalahan yang merupakan antara persoalan yang masih berkisar dalam kehidupan masyarakat negara.

“Justeru, Beta yakin dan berharap, para intelektual di UKM, dapat menjadi pemain utama dalam memberi sumbangan bagi merungkai segala persoalan tersebut,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-48 hari ini.

Sebagai institusi akademik, DYMM Tuanku Muhriz bertitah, UKM juga perlu terus bergerak pantas dalam menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang sesuai dengan tuntutan semasa.

“Penyelidikan dan inovasi yang dihasilkan juga perlu mempunyai nilai komersil yang tinggi dan boleh dipasarkan sehingga ke peringkat global. Beta berkeyakinan, sarjana UKM akan terus ke hadapan dan mampu menghasilkan inovasi baharu bagi memperkasakan bidang penyelidikan yang memberi manfaat kepada kehidupan masyarakat,” titah baginda.

Pada Sidang Canselor, Tuanku telah menyempurnakan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam) kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia yang juga merupakan alumni Fakulti Perubatan tahun 1988, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Kelestarian kepada Profesor Emeritus Dr. Soontak Lee.

Selain itu, baginda turut menyempurnakan penganugerahan Anugerah Pelajaran Diraja kepada Ayuna Yussoff (Fakulti Undang-Undang) dan Raveena Vadheswary a/p Muralitharan (Fakulti Sains Kesihatan).

Turut berangkat ke majlis konvokesyen tersebut ialah tiga orang Pro-Canselor UKM iaitu Yang Amat Mulia Tunku Laxamana Tunku Dato’ Seri Utama Naquiyuddin Ibni Tuanku Ja’afar, Yang Amat Berbahagia Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.