UKM Perlu Bersedia Menghadapi Cabaran Perdana


Oleh Nadia Sapuan dan Asmahanim Amir
Foto Abd Raai, Ikhwan Hashim dan Izwan Azman

BANGI, 19 April 2017 – Dalam menghadapi cabaran perdana, warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disaran membuat persediaan dan tindakan yang strategik bagi memastikan UKM sentiasa cemerlang dan menjadi sebutan dalam pelbagai konteks.

Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata UKM berhasrat untuk menjadi juara dalam cabaran perdana menerusi konteks pencapaian yang berterusan.

“Universiti sekarang bukan lagi seperti dahulu. Ini menunjukkan kita perlu sentiasa bersedia dengan sebarang perbezaan yang berlaku di persekitaran, terutamanya dari aspek teknologi kerana jika kita tidak bersedia, kita akan digelar lapuk dan ketinggalan zaman,” katanya.

Beliau berkata antara cabaran yang lain yang turut dihadapi adalah persaingan di antara universiti disebabkan oleh bilangan universiti awam dan swasta yang semakin meningkat di samping permintaan pihak industri terhadap graduan dan penyelidikan yang berkualiti.

“Kita ada puluhan awam dan ratusan universiti serta kolej swasta yang menyebabkan wujudnya persaingan yang sengit di samping permintaan graduan penyelidikan yang berkualiti seperti yang diminta oleh pihak industri.

“Cabaran-cabaran yang kita hadapi pada hari ini menyebabkan kita perlu bersedia membuat perubahan yang mencabar kelaziman,” katanya semasa menyampaikan Syarahan Perdana dengan tema Kebitaraan Kecemerlangan, baru-baru ini.

Beliau menambah UKM telah melaksanakan pelbagai perubahan yang mencabar kelaziman daripada pelbagai aspek terutamanya daripada aspek kesarjanaan dan penyelidikan yang dilakukan menerusi kerjasama dengan beberapa industri awam.

“Kita telah menjalin kerjasama dengan banyak industri seperti Sime Darby, yang menjalankan penyelidikan tentang Palm Oil Mill Effluent (POME) Treatment.

“Dalam aspek kesarjanaan, kita juga adalah antara universiti yang mempunyai bilangan profesor teramai iaitu lebih 200 orang,” katanya.

Beliau turut menasihatkan warga UKM untuk sentiasa bersedia tampil bersuara dalam memberi pandangan secara intelektual sebagai persediaan untuk perubahan yang lebih mencabar.