UKM Promosi Konsep Perniagaan Sosial Kepada Pelajar


Oleh Zulhaidi Amil (Pusat Citra)
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 3 Mei  2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui  Pusat Citra Universiti dan Pusat Perniagaan Sosial Yunus, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan telah menganjurkan satu aktiviti Kuliah Umum, Asas Keusahawanan dan Inovasi, bagi mempromosikan perniagaan sosial kepada pelajar UKM, khususnya pelajar tahun satu.

Kuliah yang disampaikan dalam bentuk syarahan umum tersebut, bertajuk Zero Poverty Through Job Creation, telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MyHarapan, Nurfarini Daing kepada kira-kira 4,000 pelajar

Timbalan Pengarah Keusahawanan, Inovasi dan Penerbitan Pusat Citra Universiti, Prof Madya Dr Rosilah Hassan berkata keputusan menjemput pihak MyHarapan adalah tepat kerana ia merupakan satu cara dalam membuka minda dan pengetahuan pelajar terhadap salah satu contoh kejayaan projek keusahawanan sosial di negara ini.

“UKM sangat menghargai kesudian pihak MyHarapan menerima jemputan ini dan menggunakan peluang untuk menerangkan tujuan penubuhan MyHarapan serta bantuan yang boleh diberikan kepada belia  dan pelajar yang berminat membuka perniagaan sosial,” tambah beliau.

Beliau berharap para pelajar dapat menggunakan pelbagai kemudahan dan sokongan daripada MyHarapan untuk bergerak lebih maju kehadapan dan lebih tinggi dalam bidang keusahawanan sosial.

Sementara itu, idea untuk berkerjasama dengan Pusat Perniagaan Sosial Yunus, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan untuk aktiviti ini adalah sebagai menunaikan hasrat kepimpinan tertinggi UKM bagi menggalakkan idea perniagaan baru dalam kalangan pelajar  UKM.

“Konsep Keusahawanan Sosial adalah masih baru dan sedang berkembang.

“Usaha mempromosikannya kepada pelajar-pelajar UKM khasnya kepada pelajar tahun satu diharap dapat memberi kesan positif kepada golongan muda di samping menggalakkan pelbagai idea untuk menubuhkan perniagaan baru yang inovatif,” kata Prof Madya Dr Rosilah.