UKM Raikan Penerima Vaksin yang ke 100,000


Oleh Mohamad Salleh Sulieman
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 14 Julai 2021- UKM meraikan penerima vaksin yang ke 100,000, Shabirin Harun, 57, di Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi Universiti Kebangsaan Malaysia (PPV IPT@UKM) hari ini.

Beliau yang berasal dari Kajang menerima sumbangan berupa Plak 100,000 dan cenderamata yang disampaikan oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman pada pukul 12.30 tengah hari tadi di Dewan Gemilang, UKM.

Selain itu, Nurhidayah Hasnul, penerima vaksin ke 99,999 dan Fatin Fasihah Mohd Ilkham, penerima vaksin ke 100,001 juga turut menerima cerderamata dari UKM sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata, UKM bukan sahaja sebuah Institusi Pengajian Tinggi, malah sebuah universiti yang mesra komuniti melalui penglibatannya sebagai salah sebuah PPV IPT di Selangor.

“PPV IPT@UKM adalah tanda sokongan UKM kepada usaha negara untuk mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera bagi memerangi wabak COVID-19.

“Semoga sumbangan dan peranan UKM sebagai PPV IPT@UKM terpahat di hati masyarakat yang telah menerima vaksin di sini,” katanya.

Beliau turut memuji sukarelawan yang menyumbang tenaga di PPV IPT@UKM.

“Kejayaan ini dicapai melalui kerjasama sukarelawan kita yang terdiri daripada para pelajar, kakitangan university, dan orang awam.

Mereka adalah hero tidak didendang yang membantu pasukan perubatan demi memastikan proses vaksinasi di sini berjalan lancar.”