UKM Salur Bantuan Barangan Keperluan Dapur Kepada Penduduk di Sekitar Bandar Baru Bangi


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 30 Julai 2021 – Sebagai sebuah universiti watan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak membiarkan penduduk di sekitar universiti itu berada dalam kesusahan terutamanya ketika negara masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19.

 Justeru, Pusat Islam UKM dengan kerjasama Sukmanita, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC-UKM) dan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (BBB) bersama berganding bahu membantu penduduk yang memerlukan di sekitar kawasan itu dengan menyalurkan bantuan keperluan barangan dapur.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah berkata sumbangan yang dibuat itu adalah usaha warga UKM kepada penduduk setempat yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

“Apa yang dilakukan oleh warga UKM ini adalah bersesuaian dengan TERAS UKM, iaitu kita nak tekankan bahawa warga kita cakna dengan situasi masyarakat.

“Kita tahu ramai yang terjejas pendapatan. Jadi UKM mengalu-alukan apa yang dilakukan pada hari ini oleh Pusat Islam, Sukmanita dan UCTC dalam membantu meringankan beban penduduk di sekitar kawasan ini.

“Walaupun jumlahnya tidaklah banyak, tetapi sekurang-kurangnya ia adapat memberi sinar kepada mereka yang memerlukan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Program Penyampaian Food Bank 1.0 Pusat Islam UKM.

Katanya, selain memberi bantuan makanan, UKM juga sentiasa bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani COVID-19 dengan menjadi Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT@UKM) serta menggerakkan PPV Bergerak bagi membantu masyarakat kampung di Parit Sulong, Johor dan Seri Menanti, Negeri Sembilan.

“Di PPV Dewan Gemilang, kita telah mencapai lebih 100,000 penerima vaksin bagi dos pertama dan jumlah itu akan terus meningkat dari hari ke hari.

“Selain itu, UKM juga turut menyumbang kepakaran dalam membantu merawat pesakit COVID-19 yang menerima rawatan di HCTM (Hospital Canselor Tuanku Muhriz) dan HPKK (Hospital Pakar Kanak-Kanak),” kata beliau.

Katanya, beliau sedar bahawa dalam usaha menangani COVID-19, ramai yang turut sama membantu UKM.

“Warga kita (warga UKM) dan alumni, ramai yang tampil membantu terutamanya di HCTM dalam menambah keperluan perubatan termasuk katil di hospital,” katanya.

Beliau berharap agar jaringan antara warga universiti, alumni dan industri akan terus dilakukan dalam membantu masyarakat yang memerlukan.