UKM Serah Sumbangan Zakat Sebanyak RM13,100 Kepada Tiga Kampung Angkat


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 12 Jun 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyerahkan sumbangan zakat sebanyak RM13,100 kepada tiga kampung iaitu Kampung Sungai Buah, Bangi; Kampung Pulau Manis, Pekan dan Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM3,100 disumbangkan kepada Kampung Sungai Buah dan masing-masing RM5,000 disumbangkan kepada Kampung Pulau Manis dan Kampung Seberang Takir.

Ketiga-tiga kampung itu adalah kampung angkat UKM dibawah Projek 360 Kampung Angkat UKM.

Penyerahan itu dilakukan sewaktu Majlis Menghayati Nuzul Al-Quran Peringkat UKM 1439H/2018M yang diadakan baru-baru ini di Masjid UKM.

Majlis bertemakan Al-Quran Pencetus Kebitaraan Ummah telah dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi UKM iaitu Nai Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali dan Pengerusi Eksekutif Brahim’s Group, Dato’ Seri Ibrahim Ahmad Badawi.

Antara pengisian program ialah majlis berbuka puasa, ceramah Nuzul Quran oleh Ustaz Mohd Rozie Mohd Rejab, Alunan ayat Al-Quran oleh Qari dari Mesir, Syeikh Amru Jum’ah, solat maghrib, isya’, solat sunat tarawih dan witir berjemaah.