UKM-Stenta Films Jalin Kerjasama Pergiat Kajian Filem Plastik


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 10 Oktober 2018 – Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengukuhkan kerjasama dengan Stenta Films (M) Sdn Bhd (Stenta Films) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mempelbagaikan lagi kajian filem plastik.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, sebagai sebuah universiti penyelidikan, UKM sentiasa mengalu-alukan pihak industri bekerjasama dengan UKM bagi meningkatkan bidang penyelidikan.

“Pihak industri memberi dana dan kami menyediakan kepakaran, dan kuasa utama adalah industry selain kedua-dua pihak mendapat faedah bersama.

Saya yakin kerjasama ini akan membantu kedua-dua pihak (UKM dan Stenta Films) berkongsi teknologi dan kepakaran bersama,” katanya semasa majlis menandatangani MoU antara UKM dan Stenta Films di Bilik Majlis, Bangunan Pentadbiran baru-baru ini.

Beliau berharap supaya inisiatif kerjasama ini dapat menggalakkan kerjasama penyelidikan dan menjadi platform kepada pensyarah, pelajar dan industri untuk memperkayakan lagi ilmu dalam bidang sains dan teknologi filem plastik.

Sementara itu, Pengarah Urusan Stenta Films (M) Sdn. Bhd., Dato’ Wong Kok Hwa berkata, pihaknya percaya UKM yang adalah institusi pendidikan tinggi tersohor yang akan memberi kerjasama terbaik dalam kajian filem plastik.

“Saya berharap kolaborasi ini memberi kelestarian dan kejayaan kepada kedua-dua pihak,” kata beliau.