UKM Sumbang Buku Dan Komputer Kepada Sekolah Di Gua Musang, Kelantan

new_110515_sklimau_01Oleh Abd Raai Osman
Foto Abd Ra’ai Osman

GUA MUSANG, KELANTAN, 7 Mei 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyumbang buku-buku dan bahan bacaan serta komputer kepada dua sekolah di sini yang teruk dilanda banjir awal tahun ini.

Dalam upacara pertama, Timbalan Naib Canselor (Pelajar dan Alumni), Prof Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal menyampaikan derma tersebut kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi (SKLK) Gua Musang Haji Che Azmi Mohd Nor, dalam satu majlis yang meriah pada 19 April lalu.

UKM telah mengerakkan Misi bantuan banjirnya ke SK Limau Kasturi pada 5 Januari 2015. Selepas itu, UKM telah menghantarkan sukarelawannya sebanyak enam kali bagi membersihkan kawasan sekolah dan asrama.

Pasukan sukarelawan juga membaik pulih Bilik Sumber sehingga selesai dan boleh digunakan semasa majlis penyerahan bahan-bahan bacaan dilangsungkan.

Daerah Gua Musang  adalah di antara daerah paling teruk dilanda banjir awal tahun ini dan SKLK adalah di antara sekolah yang besar di Gua Musang yang mempunyai banyak aset kerajaan termasuk makmal dan perabot. Turut musnah  fail guru, rekod dan maklumat pelajar serta segala yang berkaitan pembelajaran.

Menurut Prof Noor Aziah, UKM telah menganjurkan Kempen Derma Buku, komputer dan bahan pusat sumber pada bulan Februari dan Mac 2015. Kempen ini turut mendapat sumbangan buku dan wang tunai daripada pihak korporat antaranya Syarikat Buku BookXcess, Koperasi UNIKEB UKM, Dewan Bahasa dan Pustaka serta individu yang prihatin.

“Pagi ini, saya berasa terharu dan bangga kerana dapat menyerahkan sumbangan bahan Pusat Sumber berbentuk buku ilmiah, buku cerita dan komputer untuk kegunaan pusat sumber sekolah ini, serta merasmikan pusat sumber yang telah dibaik pulih oleh sukarelawan Jabatan Pengurusan Pembangunan UKM”, kata beliau dalam ucapan pelancaran.

Tambah beliau, kesan banjir boleh dilihat sendiri ketika menyertai misi bantuan banjir.

Prof Noor Aziah berharap usaha murni ini akan mencetuskan semangat murid-murid untuk menggunakan sepenuhnya pusat sumber ini bagi menimba ilmu dan terus berusaha ke arah prestasi akademik yang cemerlang. Usaha ini juga diharap akan mengakrabkan lagi hubungan UKM dan SKLK.

Kempen ini menerima sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah Gua Musang, Pengerusi Biro IPT Parlimen Gua Musang merangkap Presiden Mahasiswa Gua Musang (PEMAGUN).

Turut hadir di majlis ini ialah Ketua Pustakawan Tun Seri Lanang UKM Hafsah Mohd, Pengarah Pusat  Pembangunan Mahasiswa dan Pembangunan Alumni Prof Madya Dr Roslee Rajikan, serta pegawai-pegawai kanan UKM.

Dalam satu majlis lain selepas itu Dr Roslee menyampaikan sumbangan buku dan komputer kepada SK Kuala Sungai.