UKM Sumbang Lebih RM13,000 kepada Tabung Perubatan Rohingya


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 1 Jun 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyalurkan sumbangan lebih RM13,000 kepada Tabung Bantuan Rohingya (Bantuan Perubatan) melalui Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).

Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UKM, Prof. Datuk Dr. Rokiah Omar berkata, kutipan tabung tersebut telah digerakkan pada September tahun lepas selama dua minggu.

“Kita gerakkan tabung itu melalui Majlis Perwakilan Pelajar di tiga-tiga kampus UKM. Dalam tempoh dua minggu, kita telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM13, 639.95,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Bantuan Rohingya di Pejabat Mercy Malaysia, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata semua sumbangan itu adalah untuk bantuan perubatan pelarian Rohingya di Bangladesh.

“Sumbangan ini adalah untuk jangka panjang dengan memfokuskan kepada klinik ibu-ibu mengandung dan kanak-kanak di sana,”ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia, Ir. Amran Mahzan berkata, Mercy Malaysia telah membina hospital di sana bagi memudahkan bantuan perubatan disalurkan.

“Ini adalah langkah jangka panjang usaha kami dalam meneruskan bantuan perubatan di sana,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak sumbangan untuk disalurkan kepada etnik Rohingya, tetapi jumlah itu masih belum mencukupi.

“Kita sentiasa menghantar doktor untuk memberikan perkhidmatan perubatan kepada pelarian di sana. Walaupun mereka yang pergi adalah secara sukarela, tetapi masih terdapat kos tempat tinggal, makanan dan keselamatan yang perlu diambil berat,” katanya.

Jadi, beliau berharap, pihaknya (Mercy Malaysia) terus mendapat sokongan dan bantuan daripada seluruh rakyat Malaysia bagi membantu masyarakat dunia yang lebih memerlukan.