UKM Tandatangan MoA dengan University of The Philippines bagi Penganjuran E-AYVP Philippines 2021

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 7 Mei 2021 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan University of the Philippines (UP) bagi sama-sama menganjurkan E-ASEAN Youth Volunteer Programme (E-AYVP) Philippines 2021.

AYVP bertujuan untuk memberi peluang kepada para peserta termasuk kedua-dua institusi, untuk berkolaborasi antara satu sama lain dan meningkatkan aktiviti dalam bidang yang berkaitan di masa depan.

Menurut Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni & Masyarakat, Prof Dato’ Dr. Imran Ho, program itu memberi peluang kepada 213 juta belia di 10 negara ASEAN untuk peningkatan kemampuan belia sebagai pemimpin ASEAN di masa depan.

“Saya percaya program ini dapat menyumbang untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat di seluruh ASEAN serta memberi semangat kesukarelawan belia,” katanya.

Melalui MoA tersebut, kedua-dua institusi bersetuju untuk bekerjasama dalam menganjurkan E-AYVP Philippines 2021 dengan tema Memperkukuhkan Sistem Penyampaian Pendidikan ASEAN dalam Masa Mencabar (Strengthening ASEAN Education Delivery Systems in Challenging Times). Program itu dijadualkan akan bermula pada 30 Ogos 2021 hingga 19 September 2021.

Majlis menandatangani MoA tersebut telah disempurnakan oleh Prof Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah, yang mewakili Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.

Sementara bagi pihak UP, Naib Presiden Hal Ehwal Awam, Dr Elena E. Pernia, telah mewakili Presiden UP, Prof Danilo Lardizabal Concepcion.

AYVP adalah platform kesukarelawanan belia yang berdedikasi bagi mewujudkan peluang dalam kesukarelawanan yang didorong oleh pengetahuan, menyokong pertukaran pengalaman belajar, mengembangkan kemampuan, meningkatkan pemahaman lintas budaya, dan menjalin rasa identiti serantau sambil membuat perbezaan dalam masyarakat di seluruh ASEAN.

Jadi, dengan tema tahun ini, program tiga minggu itu yang memaparkan lebih banyak webinar dan kelas dalam talian akan memberi fokus kepada ASEAN.

Dengan tujuan mengembangkan pemimpin masa depan ASEAN, para belia yang akan memimpin dan memperkukuhkan sistem penyampaian pendidikan, terutama dalam program melalui norma baharu bersama dengan masyarakat setempat.