UKM Tawar 4,139 Tempat Kepada Pelajar Baharu Untuk Sesi Akademik 2019-2020


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 3 September 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menawarkan 4,139 tempat untuk 71 program pengajian kepada pelajar-pelajar baharu untuk Sesi Akademik 2019-2020 meliputi tiga kampusnya iaitu Kampus Bangi, Kampus Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan UKM.

Naib Canselor, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor berkata, untuk tahun ini UKM menerima sebanyak 8,826 permohonan pilihan pertama, iaitu jumlah permohonan pilihan pertama yang kedua tertinggi antara universiti awam.

“Program pengajian popular yang diterima oleh UKM ialah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah), Sarjana Muda Ekonomi, Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) dan Sarjana Muda Sains Sosial (Psikologi),” katanya semasa Sidang Media Pendaftran Pelajar Baharu Sesi Akademik 2019-2020, di Bilik Delima, Kolej Dato’ Onn di sini.

Beliau berkata daripada jumlah tawaran tersebut, 2,500 adalah pelajar daripada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Kita sediakan mereka dengan kemudahaan penginapan dan bantuan kebajikan pelajar yang bersesuaian,” katanya.

Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) UKM yang bertemakan UKM Pendaulat Amanah Negara bermula pada 2 September hingga 6 September 2019. Antara pengisian program sepanjang MMM ialah Slot Bersama Pengerusi UKM, Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor, Digital Native Agenda 23, Majlis Tahlil dan Forum serta 9 Domain (Keusahawanan, Inovasi, Hijau/ Kelestarian, Kebudayaan, Sukan dan Badan Beruniform, Nilai Murni dan Kepimpinan).