UKM Terima Dana RM181,139 daripada UMW Toyota Motor Bina KKL Eco-Home Village


Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Ikhwan Hashim

SEMENYEH, 11 Mac 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakullti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) menerima sumbangan dana berjumlah RM 181,139 daripada UMW Toyota Motor bagi membina KKL Eco-Home Village Resort di perkampungan orang Asli, Kampung Kachau Luar (KKL), Semenyih, Selangor.

Projek berkenaan adalah di bawah inisiatif Mobilizing Youth for Sustainable Change oleh FEP bertujuan untuk membolehkan belia Orang Asli membantu komuniti mereka berdaya tahan dan mewujudkan hubungan yang berharga dengan masyarakat umum selain memperkasa ekonomi mereka.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah, usaha-usaha untuk membantu meningkatkan kesejahteraan dan sosio ekonomi masyarakat melalui penyelidikan yang dijalankan sentiasa menjadi keutamaan UKM bagi meningkatkan taraf kehidupan mampan jangka panjang termasuk kepada masayarakat orang Asli.

“Pengurusan dan penginapan chalet yang bakal disiapkan nanti juga akan menyediakan pekerjaan untuk komuniti orang Asli dan dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Cek Toyota Classic UMW Toyota Motor kepada UKM di Dewan Masyarakat Kampung Kichau Luar, baru-baru ini.

KKL Eco-Home Village Resort mensasarkan untuk membina 20 unitchalet menggunakan teknologi hijau MCM GreenMan “Off Grid” Modular Building System yang mesra alam.

Ketika ini, pengurusan resort akan dilakukan oleh masyarakat Orang Asli KKL bersama UKM, rakan kongsi, pelajar dan sukarelawan sebelum diserahkan kepada masayarakat Orang Asli setelah latihan dan bimbingan dalam tempoh tertentu.

Penyerahan dana tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyuma kepada Prof Dato’ Dr Imran Ho di balai raya kampung tersebut. Turut hadir adalah Dekan FEP, Prof Dr Norman Md Salleh dan Pengarah UMW Toyota Motor, Mohd Shamsor Mhd Zain.

Dana tersebut diperoleh melalui Konsert Toyota Classic 2018 yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas pada November 2018. Melalui konsert itu, UMW Toyota Motor telah berjaya mengumpul sebanyak RM363,000 dan jumlah itu dibahagikan sama rata kepada UKM untuk projek Eco-Home Village Resort dan Universiti Malaya yang menjalankan penyelidikan berkenaan dengan tenaga keterbaharuan.