UKM Terima RM80,000 Komersialkan produk InnoQibla


Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Izwan Azman

BANGI, 22 Mac 2019 – Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) menerima dana penyelidikan berjumlah RM80,000 daripada Istidamah Resources Sdn Bhd bagi mengkormersialkan produk InnoQibla iaitu peranti penentu arah kiblat mudah alih.

Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, arah kiblat wajar diambil berat bagi orang Islam dan pemaju pembinaan  tidak sewenang-wenangnya membina tandas mengahala ke arah kiblat.

“Kerjasama ini akan memberi impak yang bermakna kepada Istidamah dalam menerajui industri pembinaan, perhotelan dan pelancongan di Malaysia yang lebih islamik dengan menawarkan perkhidmatan penentuan arah kiblat,” katanya pada Majlis Menandatangani dua Perjanjian Perlesenan (TLA) berkaitan dengan inovasi InnoQibla antara UKM Technology Sdn. Bhd. dan Istidamah Resources Sdn. Bhd di Bilik Mesyuarat Canselori,  Bangunan Pentadbiran baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Istidamah Resources, Azlim Zamberi berkata, pasaran produk InnoQibla tersebut memfokuskan kepada pemaju industri pembinaan dalam dan luar negara serta agensi kerajaan seperti JAKIM bagi menentukan arah kiblat dengan lebih mudah dan pantas.

“Peranti tersebut dihasilkan bagi memudahkan pihak JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) serta Jabatan Mufti Negeri dalam menentukan arah kiblat di dalam bangunan yang hanya mengambil masa kira-kira 10 minit berbanding kaedah sedia ada yang mengambil masa lebih lama dan bergantung kepada perubahan cuaca semasa,” katanya.

InnoQibla menggunakan teknologi Mikroelektromekanikal (MEMS) bagi mengesan arah utara benar mengikut putaran bumi iaitu arah sepanjang permukaan bumi ke arah Kutub Utara.

Idea penghasilan peranti itu tercetus apabila kumpulan penyelidik Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) membuat pemerhatian kaedah menentukan arah kiblat sedia ada yang dilakukan oleh JAKIM di surau bangunan pentadbiran FKAB adalah agak rumit dan mengambil masa yang lama.

Penyelidikan itu telah dihasilkan oleh kumpulan penyelidikan dari Pusat Kejuruteraan Elektronik & Komunikasi Terkehadapan (PAKET), FKAB diketuai Prof Madya Ir Dr Norhana  Arsad, Prof Madya Ir Dr Ahmad Ashrif A Bakar, Nur Hazliza Ariffin dan ahli kumpulan yang lain.

InnoQibla telah diuji di tiga lokasi strategik di Pusat Ilmu Falak Sheikh Tahir, Balik Pulau, Pulau Pinang, Masjid Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan dan Balai Cerap Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan malah memuaskan kedua-dua pihak iaitu JAKIM dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

InnoQibla turut memenangi Islamic Innovation Challenge Award yang dianugerahkan oleh Platcom Ventures Sdn. Bhd dan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dan telah memenangi pingat emas dalam International Conference and Exhibition on Discoveries by Higher Education Institutions.