UKM Terima Sumbangan RM70,000 daripada YPM untuk Bantu Pelajar


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 19 November 2021 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima sumbangan daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM) sebanyak RM70,000 dan barangan makanan bagi membantu pelajar-pelajar UKM yang terpilih melalui Program Semarak Ilmu di bawah Seksyen Pendidikan Tertiari YPM bagi menampung pembiayaan pelajar dalam kategori asnaf dan B40.

Daripada RM70,000 itu, RM10,000 melalui Skim Bakul Makanan akan diberikan kepada 100 orang pelajar dan RM60,000.00 adalah melalui Sumbangan Pendidikan YPM kepada 15 pelajar yang layak.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UKM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim berkata HEP akan mengenal pasti pelajar-pelajar yang layak untuk menerima bantuan YPM tersebut.

“UKM mengucapkan terima kasih kepada YPM kerana peka dengan keperluan pelajar yang berada di dalam kampus semasa musim pandemik ini. Bantuan bakul makanan itu sedikit sebanyak akan membantu mereka terutamanya pelajar yang menjalani kuarantin kerana mereka tidak boleh keluar sehingga tamat tempoh kuarantin tersebut,” katanya.

Beliau berkata untuk Sumbangan Pendidikan YPM, HEP akan mengenal pasti 15 pelajar yang layak yang akan menerima RM4,000 secara one off.

“Diharapan bantuan yang diberikan oleh YPM ini dapat membantu pelajar-pelajar kita yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA, Dato’ Dr. Mohd Nizar Sudin berkata kesan pandemik COVID-19 menyebabkan ramai terkesan termasuklah pelajar-pelajar universiti.

“YPM hanya menjadi pelengkap sahaja dengan memberi sedikit bantuan makanan dan kewangan melalui Skim Bakul Makanan dan Skim Dana Ehsan Pendidikan (SDEP) kepada pelajar-pelajar yang layak terutamanya mereka yang datang dari keluarga B40.

“Walaupun sumbangan ini tidak dapat menampung kehidupan mereka (pelajar), tetapi ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan mereka,” katanya.

Mengambil inisiatif di bawah SDEP, YPM telah memberikan bantuan kepada pelajar-pelajar B40 di enam buah universiti termasuk UKM yang dikenal pasti terkesan akibat daripada pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

SDEP YPM itu diwujudkan bagi menyediakan bantuan dalam pelbagai bentuk antaranya bantuan kewangan, barangan keperluan pembelajaran, kelengkapan pengajian dan lain-lain.

Bagi tahun 2021 setakat bulan Oktober, seramai 1,003 orang pelajar dari seluruh negara telah menerima manfaat di bawah SDEP dengan jumlah bantuan sebanyak RM373,736.10 termasuk bantuan di UKM.