UKM Terlibat dalam Pelan Pembangunan Sukan Kriket dan Atlet Negara


Berita dan foto oleh Asmahanim Amir

BANGI, 10 Mei 2022 – Kerjasama yang terjalin melalui pemeteraian perjanjian kerjasama antara Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Persatuan Kriket Malaysia dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan akan dapat memberi peluang kepada UKM untuk sama-sama terlibat dalam pelan pembangunan sukan dan atlet negara.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil berkata kerjasama itu akan dapat membantu UKM bersama-sama memainkan peranan dalam merencanakan program pembangunan sukan negara.

“Inisiatif dari Persatuan Kriket Malaysia dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan memberi peluang kepada UKM untuk sama-sama terlibat dalam pelan pembangunan sukan dan atlet negara ini merupakan satu penghargaan yang amat bernilai untuk UKM bagi menyokong penuh kelangsungan sukan di Malaysia.

“Walaupun terdapat dugaan dan cabaran dalam proses menyediakan semua dokumentasi Perjanjian Kerjasama ini, namun saya amat berbangga dengan kolaborasi dari Persatuan Kriket Malaysia, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Pusat Sukan UKM dan Pejabat Penasihat Undang-Undang UKM yang telah berjaya menyelesaikan segala kekangan dengan efisen dan baik,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Menandatangani Kerjasama Perjanjian antara UKM dengan Persatuan Kriket Malaysia dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, di sini.

Beliau berkata kehadiran pemain-pemain kriket dan atlet pelbagai jenis sukan berprofil tinggi dari Majlis Sukan Malaysia juga diharap membuka peluang kepada mereka untuk melanjutkan pengajian di UKM.

“Perjanjian Kerjasama bersama Persatuan Kriket Malaysia dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan ini juga dilihat sebagai langkah pertama ke arah mencipta kejayaan itu,” katanya.

Melalui kerjasama ini beliau berharap nama UKM akan menjadi sebutan dibibir penggemar sukan kriket dan pelbagai jenis sukan lain di Malaysia mahupun luar negara.

“Pelbagai kejohanan di peringkat universiti, nasional serta antarabangsa juga diharapkan akan dapat diadakan dengan jayanya di UKM selepas ini, dan sekaligus menjadi permulaan yang baik bagi UKM disamping mempromosikan nama baik UKM dalam arena sukan di Malaysia,” katanya.