UKM Teruskan Kerjasama dengan PKBF Dalam Memulihara Flora dan Fauna Bukit Fraser


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BUKIT FRASER, 27 Jun 2019 – Kerjasama erat yang terjalin antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) sejak 2009 diteruskan lagi apabila kedua-dua institusi itu memperbaharui semula Memorandum Persefahaman (MoU), baru-baru ini.

Sepanjang 10 tahun kerjasama yang terjalin antara UKM dan PKBF, banyak program telah dijalankan termasuklah ekspedisi santifik, seminar dan program kesedaran penyelidikan.

Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Ir Dr Abdul Wahab Mohamad berkata, UKM juga turut membantu kerajaan Negeri Pahang dalam mempertahankan dan membangunkan kawasan persekitaran dalam (Bukit Fraser) demi kesejahteraan masyarakat setempat.

“Bukit Fraser sangat berpotensi sebagai pusat peranginan tanah tinggi kerana menjadi tumpuan para penggemar alam semula jadi khususnya peminat burung kerana hutan di sini mengnandungi pelbagai jenis flora dan fauna yang unik.

“Saya berharap dengan penyambungan MoU ini akan dapat merancakkan lagi nilai penyelidikan dan pemuliharaan alam sekitar di kawasan ini serta mengukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat di negara kita,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani MoU antara UKM dan PKBF Kompleks Perbadanan Kemajuan Bukit Frazer baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Sharkar Shamsudin berkata, UKM adalah sebuah institusi pendidikan yang mempunyai kelengkapan yang terbaik dalam menjalan penyelidikan di Bukit Fraser.

“Kita berterima kasih kepada UKM kerana menjalankan penyelidikan di sini (Bukit Fraser) dan kita lihat hasil penyelidikan tersebut telah memberi benefit kepada kita terutamanya dalam sektor ecotourism.

“Kita tidak mahu kawasan ini over develop sehingga menyebabkan suhu dan hidupan flora dan fauna di sini terjejas. Jadi, dengan adanya UKM yang menjalankan penyelidikan di sini, semua yang kita bimbangkan itu insyaAllah tidak akan terjadi,” katanya.

Pusat Penyelidikan Bukit Fraser (PPBF) UKM telah ditubuhkan bagi memenuhi keperluan dan memberi kemudahan penyelidikan khususnya kepada penyelidik dan pelajar UKM serta penyelidik luar.

Keluasan kawasan tapak PPBF meliputi tanah seluas tujuh ekar disamping kawasan penyelidikan seluas 45 hektar yang boleh diteroka melibatkan hutan dara asli montane yang terletak di negeri Pahang. Hutan penyelidikan ini mempunyai pinggir riparian, aliran lembah dan gunung rabung yang mengandungi pelbagai habitat yang kaya dengan flora dan fauna.