UKM Teruskan Kerjasama dengan Universitas Hassanuddin, Perkasakan Bidang Perubatan dan Pergigian


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 4 Januari 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universitas Hasanuddin, Indonesia (UNHAS) bagi meningkatkan kerjasama dalam memperkasakan bidang perubatan dan pergigian di kedua-dua institusi pendidikan tersebut.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata kerjasama stategik itu telah bermula sejak tahun 2002 melalui Fakulti Perubatan UKM.

“Di peringkat awal kerjasama ini, pihak UNHAS telah menghantar beberapa orang pelajar mereka untuk menjalani latihan selama satu semester di Jabatan Ortopedik dan Traumatologi UKM secara bergilir-gilir.

“Rentetan daripada itu beberapa aktiviti kerjasama telah diadakan antara kedua-dua belah pihak seperti para pensyarah dari UNHAS dilantik sebagai Pemeriksa Luar untuk Peperiksaan Perubatan Ortopedik dan Traumatologi Fakulti Perubatan UKM dan para pensyarah dari Jabatan Ortopedik dan Traumatologi UKM pula dijemput untuk berada di Indonesia Orthopaedic Board Examintation.

“Sehingga kini Pensyarah dari UKM masih menerima jemputan untuk mengajar di UNHAS. Saya mengucapkan terima kasih atas usaha dan sokongan dari pihak UNHAS, dan para Pensyarah Jabatan Ortopedik dan Traumatologi UKM,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Menandatangani MoU antara kedua-dua universiti, hari ini.

Beliau berkata MoU pertama bagi kerjasama strategik tersebut telah ditandatangani pada tahun 2015.

Sementara itu, Rektor UNHAS, Prof. Dr. Ir. Jamaluddin Jompa berharap lebih banyak kerjasama strategik dalam bidang lain dapat dilakukan oleh kedua-dua universiti.

“Walaupun hari ini MoU memfokuskan kepada bidang perubatan dan pergigian, tetapi besar harapan kami untuk melihat kerjasama yang lebih baik untuk bidang-bidang lain dan kami juga berharap agar pelajar-pelajar kami dapat dibimbing oleh Profesor-Profesor hebat di UKM,” katanya.

Kerjasama yang diteruskan untuk tempoh 5 tahun akan datang ini akan memberi impak berterusan kepada kedua-dua balah pihak, selain menambah baik kerjasama baharu dalam bidang penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran.

Melalui kerjasama itu, seramai 20 orang pelajar Prasiswazah UNHAS pada masa kini sedang mengikuti Program Mobiliti (Inbound) di Fakulti Pergigian selama dua bulan di UKM Kampus Kuala Lumpur.

Dokumen MoU itu ditandatangani oleh Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman yang mewakili UKM dan Prof. Dr. Ir. Jamaluddin, mewakili UNHAS.

Turut hadir ke majlis MoU ini ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak. Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, Dekan Fakultas Kedokteran UNHAS, Prof. Dr. Dr. Haerani Rasyid, Dekan Fakultas Kedokteran Gigi UNHAS, Prof. Dr. Edy Machmud, Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor dan Dekan Fakulti Pergigian UKM, Prof. Madya Dr. Tuti Ningseh Mohd Dom.

Hadir sama ialah alumni UNHAS, Dato’ Dr. Sahruddin Jamal, yang merupakan mantan Menteri Besar Johor.