UKM Teruskan Misi Bantuan Kasih 2.0 ke Negeri Pahang

Oleh Asmahanim Amir

Foto Izwan Azman

BANGI, 29 Januari 2021 – Misi Bantuan Kasih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diteruskan bagi fasa kedua ke Negeri Pahang Darul Makmur bagi membantu beberapa Maahad Tahfiz, surau dan masjid di Lanchang, Temerloh dan Mentakab untuk beroperasi semula selepas ditenggelami banjir awal tahun ini.

Untuk fasa kedua ini, delegasi UKM yang disertai oleh 13 orang yang terdiri daripada warga dan alumni UKM telah membawa naskah Al-Quran dan Yasin, bantal, tikar plastik, sejadah, sabun, pelitup muka dan alat tulis dengan kos keseluruhan melebihi RM25,000.

Pengarah Misi Bantuan Kasih yang merupakan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM, Prof. Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab Rahman merakamkan setinggi penghargaan kepada warga dan alumni UKM yang prihatin menyumbang kepada misi bantuan kasih.

“Kami berjaya mengumpulkan sebanyak RM50,000 bagi melaksanakan kedua-dua misi di Kelantan dan Pahang dalam tempoh sebulan sahaja.

“Barangan sumbangan telah berjaya diagihkan ke beberapa Maahad Tahfiz dan selebihnya di letakkan di Pusat Pengumpulan Lanchang dan Semantan yang akan diagihkan seterusnya oleh NGO-NGO (badan bukan kerajaan) tempatan kerana terikat dengan SOP kawasan merah,” katanya.

Sementara ini Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman berkata usaha murni itu adalah antara contoh terbaik sumbangan warga UKM kepada masyarakat sebagaimana lahirnya UKM dari hasrat rakyat.

“UKM adalah universiti watan kita. Misi Bantuan Kasih ini menunjukkan keprihatian UKM sebagai sebuah universiti yang merakyatkan ilmu dan bakti kepada masyarakat. Ia bermula dari masyarakat dan perlu kembali semula kepada masyarakat dalam bentuk sumbangan dan bakti,” katanya.

Misi bantuan itu adalah kesinambungan dari kejayaan Misi Bantuan Kasih pertama yang dianjurkan di Kuala Krai Kelantan dua minggu yang lalu.

YB Adun Semantan, Dato Haji Nor Azmi Mat Ludin turut hadir bersama mengagihkan sumbangan kepada Maahad Tahfiz yang terjejas

Majlis Pelancaran dan Pelepasan Misi Bantuan Kasih 2.0 telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat (JIAM), Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah di UKM Bangi.