UKM Tidak Kompromi Mutu Khidmat


Oleh Salleh Sulieman
Foto Ikhwan Hashim & Shahiddan Saidi

BANGI, 24 Mac 2022- Naik taraf Bahagian Keselamatan UKM kepada Polis Bantuan UKM dan pembelian kenderaan baharu universiti dijangka memberi wajah baru pada mutu perkhidmatan UKM.

Perkara tersebut diulas oleh Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman dalam ucapannya semasa Bicara Perdana Naib Canselor UKM 2022, baru-baru ini.

Menurutnya, bahagian Keselamatan UKM akan dinaik taraf kepada Polis Bantuan UKM demi meningkatkan mutu perkhidmatan keselamatan kampus UKM yang mencakupi kampus Bangi, Cheras, dan Kuala Lumpur.

Tambahnya, program naik taraf ini akan menyaksikan pemerkasaan ekosistem keselamatan dalam kampus UKM yang lebih selamat, lestari dan sejahtera.

“Seramai empat orang pegawai dan 200 orang anggota Keselamatan UKM akan menyertai latihan berperingkat Polis Bantuan selama tiga bulan dan latihan ini akan dikendalikan oleh pihak SUKSIS UKM bermula pada bulan Mei 2022,” katanya semasa Bicara Perdana Naib Canselor UKM 2022 baru-baru ini.

Sementara itu, UKMShape juga menghulurkan sumbangan sebanyak RM450,000.00 kepada Bahagian Keselamatan UKM bagi pembelian beberapa buah kenderaan untuk kegunaan seluruh warga dan pelajar UKM.

Kenderaan ini akan digunakan dengan pelbagai tujuan seperti program dan aktiviti rasmi universiti selain akan digunakan oleh Bahagian Keselamatan UKM.

Sumbangan itu diserahkan oleh Pengarah UKMShape Prof. Datuk’ Dr. Muhammad Hussin kepada Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan.