UKM TUAN RUMAH MESYUARAT AHLI LEMBAGA UMAP 2018


Oleh Pusat Hubungan Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 2 Mei 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjadi tuan rumah mesyuarat ahli lembaga University Mobility of Asia Pacific (UMAP) yang diadakan di Graduate School of Business, UKM Kampus Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengerusi UMAP iaitu Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali dalam ucapannya berkata, UMAP adalah peneraju utama dalam mengukuhkan jaringan bagi merealisasikan pembangunan generasi masa hadapan menerusi program mobiliti.

“Peluang ini telah menyedarkan kita tentang kepentingan kerjasama diantara universiti dan negara yang berlainan,” katanya.

Mesyuarat tersebut membincangkan penawaran untuk mempertingkatkan pertukaran pelajar dan kerjasama kolaborasi penyelidikan di antara ahli UMAP.

Mesyuarat itu dihadiri oleh 32 delegasi luar negara yang terdiri daripada wakil kementerian dan universiti iaitu dari negara Jepun, Brunei, Korea Selatan, Mongolia, Thailand, Filipina, Taiwan dan China.

Isu utama yang dibincangkan adalah berkaitan peranan ahli dalam mengembangkan mobiliti pelajar dalam kalangan rantau Asia Pasifik terutamanya di dalam era globalisasi.

UKM adalah sekretariat nasional manakala sekretariat antarabangsa UMAP terdiri daripada perwakilan daripada Universiti Toyo, Jepun.

Organisasi UMAP yang menggabungkan wakil-wakil dari institut pengajian tinggi awam dan swasta di rantau Asia Pasifik mempunyai objektif untuk meningkatkan persefahaman dalam kalangan negara-negara yang berada di Asia Pasifik menerusi kerjasama mobiliti.

Perwakilan UMAP turut dibawa melawat ke Institut Perubahan Molekul UKM (UMBI) dan Pusat Kemahiran Pembedahan Termaju di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia pada keesokan harinya.