UKM Tuan Rumah Pertandingan Kereta Mesra Alam

datokOleh Nasrullah Uul (Pelajar Pelatih UKM)
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 28 April 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi tuan rumah pertandingan ChemE Car 2015, yang mana para pelajar menujukkan inovasi dan kreativiti mereka dengan mencipta model kereta skala kecil yang dikuasai campuran bahan kimia.

ChemE Car ke-10 ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah baru-baru ini.

Dr Abu Bakar berkata pertandingan ini menyediakan platform untuk pelajar kejuruteraan kimia daripada semua institusi pengajian tinggi tempatan untuk mempamerkan kreativiti dan idea-idea yang inovatif dalam menangani isu-isu alam sekitar.

Kata beliau pertandingan Chem-E-Car dengan tema ‘Pendaulat Amanah Alam’ mencabar pasukan pelajar untuk mencipta sebuah kereta bersaiz kotak kasut dikuasakan oleh tindak balas kimia yang lebih mesra alam sekitar berbanding petrol.

Lima-puluh lima pasukan daripada 21 universiti tempatan dan luar bertarung nasib di Dewan Canselor Tun Abdul Razak selama 2 hari bermula 13 April.

Turut hadir di perasmian pertandingan Yang Di Pertua Institut Jurutera Malaysia (IEM) Dato’ Ir Lim Chow Hock dan Timbalan Naib Canselor UKM (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Imran Ho Abdullah.

Ir Lim berharap lagi banyak ciptaan jurutera dapat dihasilkan sejak tertubuhnya IEM 10 tahun lalu dan ibaratkan ChemE Car 2015 sebagai tempat mencari bakat baru.

Tambahnya, pada masa akan datang ChemE Car akan dipertandingkan di setiap universiti dan johan setiap institusi akan dipertandingkan di peringkat negara hingga sampai ke peringkat antarabangsa.

Program ini dianjurkan oleh fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB UKM) dengan kerjasama IEM.

Pasukan yang mengambil bahagian dinilai mengikut konsep inovatif dan kreatif, kerjasama berpasukan, reka bentuk yang mesra pengguna, keselamatan, daya tahan dan penjimatan bahan yang digunakan.

Pertandingan ini menguji kebolehan berpasukan mereka membentuk tindak balas proses kimia dalam masa yang singkat dengan bajet yang ditetapkan.

Kereta tersebut mestilah berupaya untuk membawa muatan tertentu air dan berhenti pada jarak yang paling dekat yang ditetapkan.

Cabaran terbesar adalah peserta hanya akan menerima muatan dan maklumat jarak satu jam sebelum permulaan pertandingan.

Satu faktor yang penting dalam kejuruteraan kimia adalah keupayaan untuk mengawal tindak balas kimia dan mencipta proses kimia yang selamat, mesra alam, berjimat dan boleh sampai sasaran pada masanya dan mengikut bajet.ukmnewsportal-bm