UKM, UIKA Meterai MoU Untuk Teruskan Kerjasama Akademik


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 21 Oktober 2021 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Pengajian Islam (FPI) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Universitas Ibn Khaldun Bogor (UIKA) bagi meneruskan kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua institusi tersebut.

MoU itu dimeterai antara Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin dan Rektor UIKA Dr. H. Endin Mujahidin dalam majlis yang dijalankan secara dalam talian menerusi platform Zoom.

Prof. Dato’ Dr. Norazah dalam ucapannya berkata UKM dan UIKA secara rasminya meneruskan ikatan hubungan yang telah sedia terjalin sebelum ini dalam bidang akademik dan penyelidikan melalui MoU tersebut.

“Saya mengharapkan agar MoU ini dapat melebarkan lagi jaringan kerjasama dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti yang berkaitan untuk manfaat ummah dari kedua-dua negara.

“Kerjasama penyelidikan antara UKM dan UIKA perlu lebih digiatkan lagi kerana banyak isu masyarakat yang boleh dikongsi bersama dalam rumpun nusantara.

“Penyelidikan boleh ditumpukan dalam pelbagai bidang merentasi disiplin khususnya dalam pembangunan sosio budaya dan ekonomi masyarakat pasca pandemik dalam pelbagai bidang dan adaptasi norma baharu dalam masyarakat,” katanya.

Beliau juga berharap kerjasama yang dibina bukan sekadar membawa manfaat kepada dari sudut akademik tetapi akan menambah lagi hubungan baik antara dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia.

Sementara itu, Dr. H. Endin turut menzahirkan harapan beliau agar MoU ini dapat merealisasi kerjasama antara dua pihak dan meningkatkan profesional pensyarah dalam aspek pengajaran, seminar dan penerbitan ilmiah.