UKM Ungguli Anugerah Pemikiran dan Reka Bentuk Semula Pendidikan Tinggi Malaysia 2017


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi dan Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 27 Nov 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengungguli Anugerah Pemikiran dan Reka Bentuk Semula Pendidikan Tinggi Malaysia (APRS) 2017 yang diadakan di Hotel Istana, baru-baru ini.

Daripada enam kategori yang dipertandingkan, UKM telah mengungguli empat daripadanya dengan menyandang gelaran johon, naib johan dan tempat ketiga.

Kategori yang dimenangi oleh UKM ialah naib johan Anugerah Pengalaman Pembelajaran Imersif Maya, naib johan dan tempat ketiga Anugerah Pengalaman Pembelajaran Imersif Teradun (Blended), naib johan Anugerah Pengalaman Pembelajaran Imersif Bersemuka serta johan dan naib johan untuk kategori Anugerah Pengajaran Transformatif Secara Interaktif.

Dua kategori lagi yang turut dipertandingkan ialah Anugerah Pengajaran Transformatif Tanpa Syarahan dan Anugerah Kurikulum Pengajaran Program Pengajian Inovatif.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata anugerah itu julung kali diadakan bagi menggalakkan budaya inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan tinggi.

“Kita kini berdepan dengan cabaran menyediakan kelompok graduan serta bidang pekerjaan yang kita tidak pasti wujud pada masa akan datang.

“Oleh yang demikian, pengajaran dan pembelajaran perlulah lebih aktif, efektif, interaktif, imersif dan bermakna, dimana penerapan ciri-ciri teknologi terkini bukanlah satu opsyen, malahan ianya menjadi keperluan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Beliau berkata pensyarah perlu dinamik dan beradaptasi dengan perubahan persekitaran dan dalam masa yang sama tidak mengetepikan konsep asas pendidikan tinggi.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Undang-Undang UKM, Dr Shahrul Mizan Ismail yang mendapat johan bagi kategori Anugerah Pengajaran Transformatif Secara Interaktif berkata beliau mendapat idea untuk inovasi pembelajaran setelah melihat para pelajarnya agak bosan dengan subjek yang diajarnya.

“Undang-undang adalah subjek yang agak bosan. Jadi, saya mencipta inovasi baharu yang lebih interaktif bagi menarik minat pelajar-pelajar saya untuk terus memberi fokus ketika di dalam kelas.

“Kami akan berlakon sebagai peguam, hakim dan juga pesalah. Pembelajaran menjadi lebih menarik berbanding jika hanya ada pensyarah dan pelajar sahaja di dalam kelas tersebut,” katanya.

Seramai 27 finalis telah terpilih untuk membentangkan projek dan inovasi yang dihasilkan dalam Sesi Perkongsian Amalan Terbaik (pitching) APRS.