UKM, Universiti Pertama di Malaysia Bakal Menghasilkan Ginjal Tiruan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 21 Dis 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah universiti pertama yang akan menghasilkan ginjal atau buah pinggang tiruan bagi merawat pesakit kegagalan buah pinggang.

Pengarah Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Prof Dato’ Dr Burhanuddin Yeop Majlis berkata penyelidikan yang dijalankan bersama penyelidik IMEN dan pakar perubatan dari Pusat Perubatan UKM telah bermula sejak tahun 2014.

“Buah pinggang mempunyai tujuh fungsi. Agak sukar bagi kita untuk menghasilkan buah pinggang tiruan dengan semua fungsi yang ada.

“Apa yang kami (penyelidik) jalankan adalah menghasilkan buah pinggang tiruan dengan memberi fokus kepada menapis darah daripada bahan kumuh dengan mengaplikasikan teknologi nano sepenuhnya,” jelasnya.

Beliau bekata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan Miresco Integrated Sdn Bhd dan Pelancaran Buku Memoir Burhanuddin Yeop Majlis sempena Sambutan 15 tahun IMEN.

Katanya penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan itu adalah harapan baharu bagi pesakit buah pinggang yang bergantung kepada mesin dialisis seumur hidup.

“Kajian berkaitan buah pinggang adalah tidak mudah seperti yang disangka. Ia mengambil masa yang lama kerana melibatkan banyak pihak termasuk pakar-pakar perubatan.

“Selain itu, kosnya yang tinggi turut menjadi salah satu cabaran kepada penyelidik dalam menghasilkan ginjal tiruan,” jelasnya yang memerlukan dana sebanyak RM5 juta.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato Seri Dr Noor Azlan Ghazali bekata UKM serius dalam menghasilkan buah pinggang tiruan kerana ingin terus membantu pesakit buah pinggang menjalani kehidupan normal tanpa perlu bergantung kepada rawatan dialisis.

“Kita amat berharap agar pihak swasta terutamanya syrikat-syarikat gergasi Malaysia dapat menyalurkan dana dan berkolaborasi bersama-sama dalam membangunkan penyelidikan ini.

“Apabila penyelidikan ini berjaya kelak, ia akan memberi manfaat kepada lebih ramai lagi pesakit buah pinggang,” katanya.