UKM – UNTAD Perkukuh Jaringan Sedia Ada

Oleh Mas Aliza Abu

Foto Muhammad Izwan Azman

Bangi, 19 Januari 2021 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) telah menandatangani MoU dan MoA dengan Universitas Tadulako, Indonesia (UNTAD) secara dalam talian yang disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd. Ekhwan Toriman, Naib Canselor UKM.

Pelaksanaan MoU – MoA ini merupakan lanjutan daripada perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini antara UKM yang diwakili oleh LESTARI dengan UNTAD yang tamat pada September 2019. Pihak UNTAD bersetuju untuk memperbaharui perjanjian yang baharu dengan FSSK.

PM Ts. Dr. Kadir Ariffin dalam ucapannya menyatakan bahawa objektif utama MoU antara kedua-dua Universiti ini adalah untuk menjalinkan hubungan strategik melalui kerjasama penyelidikan dan perkongsian ilmu, pelaksanaan persidangan antarabangsa serta penghasilan modal insan dan penerbitan bersama.

“Pihak UKM dan UNTAD juga telah merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti seperti pertukaran pelajar dan tenaga akademik, pertukaran penerbitan dan bahan akademik serta mengadakan program kerjasama penyelidikan.”

Ujar beliau lagi, pihak UNTAD juga bersetuju untuk menyalurkan dana penyelidikan berjumlah USD 42,600.00 kepada UKM untuk tempoh 3 tahun untuk menjalankan penyelidikan bertajuk Safety & Environmental Disaster Indonesia & Malaysia: Respond, Adaptation and Management.