UKMSC Gamma Knife Centre adalah yang Ketiga di Malaysia

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

CHERAS, 23 Januari 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakar sejarah apabila UKM Specialist Centre (UKMSC) yang dimiliki sepenuhnya oleh UKM telah menubuhkan pusat rawatan berteknologi tinggi bagi merawat ketumbuhan atau barah otak iaitu UKMSC Gamma Knife Centre.

Pusat Gamma Knife tersebut yang ketiga di Malaysia adalah yang pertama di hospital pembelajaran selepas dua buah hospital swasta menawarkan teknologi yang sama (Gamma Knife).

Menerusi revolusi teknologi terbaru dikenali dengan Leksell Gamma Knife Icon yang digunakan di UKMSC Gamma Knife Centre, pesakit yang menghidap ketumbuhan atau barah otak tidak perlu lagi menjalani pembedahan biasa seperti sebelum ini, sebaliknya hanya perlu melakukan rawatan menggunakan sinaran radiasi Gamma Knife.

Naib Canselor, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor berkata, UKM berbangga menjadi salah sebuah organisasi dari hanya beberapa buah hospital sahaja di Malaysia yang menawarkan rawatan menggunakan teknologi Gamma Knife.

“Prosedur rawatan ini dapat mengurangkan risiko trauma kepada otak dengan memberi tumpuan khusus kepada tisu atau sel yang bermasalah tanpa menjejaskan tisu atau sel sihat di kawasan lain.

“Tempoh rawatan adalah lebih singkat dan hasilnya lebih efektif berbanding pembedahan konvensional yang mengambil masa untuk sembuh,” katanya semasa Majlis Perasmian UKMSC Gamma Knife di Hospital Canselor Tuanku Muhriz di Bandar Tun Razak, Cheras.

Beliau berkata, sejak memulakan operasi pada November 2019, UKMSC Gamma Knife Centre telah merawat 15 orang pesakit dengan kendalian 10 orang pakar dari multi disiplin seperti neuro surgeri dan onkologi.

“UKM berharap pusat ini akan terus mendapat sokongan yang berterusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), rakan-rakan industri kesihatan dan syarikat korporat dalam menaikkan taraf serta memajukan ekosistem kesihatan di negara kita dengan mengadakan inisiatif-inisiatif baharu untuk kebaikan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM, Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, KKM mengucapkan terima kasih kepada UKM kerana membantu pihak kerajaan dalam menaikkan taraf kesihatan untuk seluruh masyarakat Malaysia.

“Sinaran Gamma Knife ini masih belum ada di hospital kerajaan dan UKM adalah hospital pembelajaran yang pertama mempunya pusat ini (Gamma Knife).

“Saya berharap perkhidmatan ini juga dapat dibuka di hospital-hospital universiti yang lain kerana rawatan yang dijalankan itu tidak memerlukan pembedahan dan tempoh masa yang diambil juga singkat,” katanya.

Pembinaan UKMSC Gamma Knife Centre yang bermula pada tahun 2017 dengan keluasan 4,000 kaki persegi menelan belanja sebanyak RM30 juta.