Unit Pengurusan Mel Terima Sumbangan Motosikal Plat UKM


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 8 September 2021 – Sebanyak tujuh motosikal dengan nombor plat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diserahkan kepada Unit Pengurusan Mel, Bahagian Pentadbiran dan Kemudahan Jabatan Pendaftar UKM.

Majlis penyerahan yang disempurnakan oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman bertujuan memudahkan kerja penghantaran dokumen penting di kampus UKM oleh kakitangan Pembantu Operasi yang sebelum ini melakukan tugas penghantaran menggunakan motorsikal persendirian.

“Unit Pengurusan Mel yang mula beroperasi pada 26 Ogos 2020 di bawah seliaan Jabatan Pendaftar telah membuktikan keupayaan mereka menguruskan mel UKM sama seperti yang pernah diuruskan oleh Pos Malaysia sebelum ini,” katanya ketika berucap di majlis penyerahan berkenaan.

“Bagi memastikan keselesaan kakitangan dan pengurusan mel yang cekap, UKM juga melaksanakan kerja mengubah suai dan menaik taraf ruang di bawah bangunan Canselori yang kini merupakan pejabat pengurursan mel UKM secara berpusat,” katanya.

Unit Pengurusan Mel ditubuhkan pada Mac 2020 rentetan daripada penamatan kontrak Pos Malaysia Berhad pada April 2020 dan unit berkenaan diterajui oleh sepuluh kakitangan Pembantu Operasi UKM.

“Dengan adanya Unit Pengurusan Mel ini segala urusan surat menyurat dan penghantaran dokumen di UKM dapat berjalan dengan baik dan efektif.

“Unit ini juga secara tidak langsung merupakan antara pasukan barisan hadapan UKM yang melambangkan kualiti perkhidmatan UKM yang perlu dijaga dan diberi perhatian oleh semua kakitangan di unit ini,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada Pejabat Yayasan Canselor yang telah menaja semua nombor plat motosikal ini dengan nombor plat khas UKM.

Sehubungan itu, beliau menekankan kakitangan yang bertanggungjawab mengendalikan motosikal tersebut sentiasa menjaga keselamatan diri dan mengamalkan pemanduan yang berhemah.

Pendaftar UKM, Dr. Hjh. Ina Md Yasin turut menyatakan rasa terima kasih atas kelulusan yang telah diberikan bagi unit Pengurusan Mel untuk menampung keperluan penghantaran surat dan dokumen.

“Dalam era teknologi di mana kebanyakan dokumen boleh dihantar melalui emel, namun kemudahan penghantaran dokumen secara fizikal masih diperlukan.

“Oleh itu, motosikal khas ini diperlukan bagi menjamin keselamatan dokumen yang dihantar dan saya berharap semua kakitangan mel menggunakan kemudahan ini dengan cermat dan selamat termasuk kakitangan yang perlu menghantar surat di antara Kampus Bangi dan Kampus Kuala Lumpur setiap hari,” katanya.

Pembantu Operasi Unit Pengurusan Mel Ahmad Afifi Mohd Ishak memanjatkan rasa syukur di atas kemudahan yang disediakan oleh pihak pengurusan universiti.

“Sebelum ini, kakitangan hanya menggunakan motosikal sendiri sahaja untuk menghantar dokumen dari satu fakulti ke fakulti yang lain, tetapi bila cuaca hujan, keselamatan dokumen tidak terjamin kerana motosikal tidak mempunyai kotak simpanan.

“Namun begitu dengan motosikal disediakan pihak universiti, surat dan dokumen penting terpelihara kerana adanya kotak simpanan di bahagian belakang motosikal,” katanya.

Ahmad Afifi berkata kebajikan kakitangan turut terjaga dari segi kos penyelangaraan motosikal diuruskan oleh pihak universiti.

Kakitangan UKM rata-rata berbangga dengan nombor plat khas UKM pada motosikal berkenaan serta pada masa sama bertanggungjawab membawa dan menjaga nama baik institusi pengajian dengan mengamalkan pemanduan secara berhemah ketika bertugas.