Universiti Awam Jimat Kos Perjalanan Udara

Public Universities Save Air Travel CostsOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

PUTRAJAYA, 5 Mei 2015 – Lebih daripada 650,000 kakitangan dan pelajar dari 20 universiti awam tempatan, termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini berpeluang menjimatkan kos perjalanan dan terbang dengan mudah apabila institusi tersebut memetrai memorandum perjanjian (MoA) dengan AirAsia, untuk menggunakan Waran Penerbangan Udara Awam (WPUA) syarikat tersebut.

Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Paduka Siti Hamisah Binti Tapsir, menyaksikan majlis menandatangani MoA antara Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar, dengan naib canselor dan wakil-wakil daripada 20 universiti awam tersebut di pejabat Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Imran Ho Abdullah mewakili UKM di majlis ini.

Mengenai perjanjian tersebut, Aireen berkata ia bermakna bahawa universiti akan menjimatkan kos perjalanan udara di dalam dan di luar negara.

“AirAsia mempunyai rangkaian domestik yang paling luas, menghubungkan bukan sahaja kedua-dua Semenanjung dan Malaysia Timur, tetapi juga antara Sabah dan Sarawak; memudahkan rancangan perjalanan untuk pelajar dan kakitangan universiti awam. Selain itu, rangkaian destinasi luas kami di 20 negara juga akan menyediakan  peluang untuk melancong, ” kata Aireen.

Beliau berkata WPUA AirAsia adalah program khas disediakan kepada anggota agensi-agensi kerajaan dan badan-badan berkanun di negara ini.

Selaras dengan seruan kerajaan untuk menjimatkan belanja, WPUA direka khas oleh AirAsia dengan kos yang paling rendah yang mungkin, untuk membolehkan kakitangan kerajaan menerbang dan melaksanakan tugas awam dengan cekap tanpa kos yang berlebihan.

Ahli-ahli agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun termasuk universiti-universiti awam di bawah program WPUA boleh menikmati keistimewaan seperti tempahan penerbangan fleksibel dan perubahan penerbangan, peruntukan bagasi percuma sehingga 40 kg, makanan dan pilihan tempat duduk; serta dikecualikan bayaran kaunter perkhidmatan.

Selain itu, tetamu yang menerbang di bawah program WPUA juga dilindungi oleh pelan perlindungan penerbangan AirAsia Tune Insurance.

Universiti awam lain yang mengambil bahagian dalam program ini ialah Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Islam Antarabangasa Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Pendidikan Sultan Idris , Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Kelantan, dan Univesiti Pertahanan Nasional Malaysia.