Universiti Digesa Utamakan Individu Seimbang Bagi Jayakan Integriti

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 5 Jan 2016 – Penilaian Individu berdasarkan keseimbangan ciri-ciri insan   harus diutamakan di semua universiti, kata Mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak.

Kata beliau buat masa ini Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tidak dihayati sepenuhnya kerana terlalu banyak penekanan diberi kepada pencapaian prestasi yang diukur secara petunjuk.

Prof Zulkifli menegaskan bahawa matlamat falsafah ini adalah untuk membentuk warga universiti berintegriti.

Menurut beliau sistem pendidikan di Malaysia yang berkonsepkan kepada FPK  merupakan hala tuju sistem pendidikan di masa hadapan.

“Hala tuju itu adalah bagaimana kita mentafsirkan ilmu dan bagaimana cara penyampaian ilmu itu dibawa. Tidak ramai dalam kalangan kita yang fasih dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan disitulah bermulanya soal integriti,” katanya semasa program Bicara Persada ke-26 bertajuk ‘Integriti Dalam Pengurusan Universiti: Antara Harapan Dengan Realiti’  di sini pada 18 Disember lalu.

Beliau berkata penubuhan universiti adalah untuk menyebarkan ilmu, tetapi warga universiti itu sendiri tidak peka dengan FPK menyebabkan ia terumbang ambing.

“Apabila kita bercakap tentang FPK, ia jelas menunjukkan bahawa kita nak mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis. Itu matlamat yang mutlak.

“Dalam falsafah itu juga, apabila kita bercakap tentang seimbang dan harmoni, apa yang dimaksudkan? Sudah tentulah empat dimensi iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek. Itu semua menjadi kayu ukur, sama ada realitinya berlaku atau tidak,” katanya.

Beliau berkata falsafah itu jelas berdasarkan ketentuan dan kepatuhan kepada tuhan yang bermaksud manusia tidak ada ruang untuk pertikaian sama ada ia betul atau tidak.

“Hanya apabila kita adun secara seimbang, barulah kita boleh menyeimbangkan diri, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berkata baginya FPK adalah hala tuju dan pengharapan tetapi adakah ia boleh menyampaikan hasrat itu dalam bentuk reality.

“Saya berterus terang menyatakannya tidak kerana istilah yang selalu digunakan dalam pendidikan terutamanya dalam pengurusan universiti bukannya manusia seimbang tetapi modal insan.

“Jadi, salah satu daripada usaha saya di sini adalah untuk mengeluarkan istilah modal insan supaya kita balik semula kepada sasaran dalam melahirkan manusia seimbang dan mempunyai kebolehpasaran,” jelasnya.

Tan Sri Dzulkifli berkata permasalahan yang berlaku dalam pengurusan universiti adalah apabila ia diuruskan berdasarkan kepada sasaran-sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tertentu yang kadang-kadang tidak menyentuh langsung hal-hal emosi dan kerohanian kerana aspek itu tidak boleh diukur.

“Jadi, soal pengurusan yang dikenakan adalah hanya kepada benda-benda tertentu yang boleh diukur dan disukat sebagai sasaran yang akhirnya mencicirkan banyak lagi dimensi-dimensi pendidikan yang kesudahannya ada kena mengena dengan integriti ilmu.

“Bagi saya konteks integriti sekarang ini adalah tidak wujud kerana ia tidak seimbang. Untuk menguruskan sebuah universiti, perlu ada employability (kebolehpasaran),” katanya.

Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa UKM (IKMAS), Prof Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong berkata beliau bersetuju dengan pendapat Tan Sri Dzulkifli berkenaan dengan FPK kerana baginya falsafah adalah acuan tetapi universiti adalah sebuah institusi yang besar sifatnya.

“Universiti adalah sebuah pusat ilmu yang harus mempunyai kebebasan atau autonomi tersendiri, iaitu tempat yang sepatutnya ada kebebasan percambahan idea dan menghormati perbezaan kerana tradisi ilmu itu pelbagai sumber. Jadi dengan itulah baru dapat membentuk minda yang berlandaskan keilmuan,” katanya.

Beliau berkata universiti perlu bersifat sebuah universiti dan bukannya sebuah kilang pengeluaran ijazah.

“Pelajar bukan client yang nak membeli ilmu tetapi mereka adalah insan yang mencari ilmu,”katanya.

Beliau berharap supaya universiti di Malaysia pada abad ke-21 ini perlu menjadi sebuah institusi yang mempunyai ilmu, berketerampilan dan berintegriti.

“Semua universiti terdedah dengan ancaman. Jadi ketiga-tiga itu (ilmu, keterampilan dan integriti) perlu ada bersama dan perlu dijiwai dengan integriti,” katanya.

Ahli panel berikutnya, Dato’ Sri Zakaria Jaafar yang merupakan Mantan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Profesionalisme) SPRM berkata baginya integriti bukan hanya kejujuran tetapi perlu kembali kepada rohani.

“Universiti perlu sentiasa mengingatkan kepada pelajar bahawa semua ini adalah pinjaman daripada Allah. Itu yang perlu diterapkan untuk melahirkan insan yang berintegriti. Kita perlu melahirkan graduan yang berintegriti dan mempunyai kualiti dalam diri,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa tiga perkara penting yang terjadi kepada graduan zaman sekarang adalah hutang yang serius, terdedah dengan ancaman maya dan memviralkan fakta-fakta yang palsu.

“Ini ancaman besar realiti yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang ini. Jadi kita perlu memberi kesedaran bahawa apa yang ada ini adalah pinjaman semata-mata supaya mereka sentiasa beringat dan tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan agama,” katanya.

Pensyarah Pengajian Media dan Komunikasi dari University of Nottingham, Malaysia, Prof Zaharom Nain berkata masalah atau persoalan integriti di universiti bukan berpunca daripada masalah individu, sikap atau psikologi tetapi ia adalah berpunca daripada struktur dan kuasa.

“Realitinya Universiti Awam dikuasai dan dicengkam kuat oleh dasar-dasar sebuah sistem pemerintahan yang telah lama berpusatkan kepada kuasa. Ia agak jelas apabila lantikan pegawai pengurusan utama Universiti Awam adalah political appointees.

“Ini satu fenomena yang kalau tak disekat ia akan terus berakar umbi dalam pengurusan universiti. Kalau check and balance tak dapat dibuat dengan wajar, maka akan timbul masalah integriti. Ini adalah pandangan dan pendirian saya,” katanya.

Forum ini telah dipengerusikan oleh pengacara RTM Sayed Munawar Sayed Mustar.ukmnewsportal-bm
02

03

04