Universiti Perlu Menjadi Inovatif dan Berfikiran Kritis dalam Mendepani COVID-19 – Menteri KPT

Oleh Nur Syafawati Mohd Kahar

Foto Ahmad Shahiddan Saidi

BANGI, 18 November 2020 – Universiti harus memikirkan satu pendekatan yang dapat membantu masyarakat belajar dan mendorong untuk menjadi inovatif dan berfikiran kritis dalam mendepani pandemik COVID-19, kata Menurut Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Menurutnya, institusi pengajian tinggi telah banyak menyumbang ke arah sumber inovasi, dasar, pengetahuan baharu dan aset nasional.

“4IR (revolusi industri 4.0) telah banyak memberi kesan kepada prinsip pembelajaran dari peringkat rendah sehingga peringkat tertinggi. Jadi, universiti harus memperjuangkan pendekatan holistik terhadap 4IR bagi membantu menangani cabaran persekitan dan sosial masyarakat. Ini bermaksud universiti perlu mengurangkan kesan buruk akibat perubahan yang tidak diingini dan memaksimakan faedah sosial dan persekitaran yang positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan merasmikan Persidangan Antarabangsa University for Society (U4S International Conference) yang diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom.

Katanya, beliau percaya bahawa persidangan itu adalah medium terbaik untuk berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik di antara universiti, komuniti dan industri.

U4S International Conference) dengan tema How Community Engagement Can Drive Innovative Sustainability in 4IR Era adalah persidangan yang diintegrasikan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Tan Sri  Lee Lam Thye berkata, tema persidangan itu sesuai dengan keadaan semasa yang sedang dihadapi sekarang.

“Penglibatan masyarakat amat diperlukan untuk membantu dalam pembangunan kelestarian inovatif dalam era 4IR yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata pada tahun ini, YSS telah menjalankan pelbagai inisiatif untuk membantu masyarakat yang terkesan dengan wabak COVID-19.

Salah satunya adalah Program Do-Nation iaitu kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dengan NGO yang berkepakaran untuk mengumpulkan bekalan makanan asas untuk keluarga dan pelajar yang memerlukan.

Selain itu, katanya, satu program latihan dalam talian turut disediakan kepada pelajar atau sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajari pengurusan kesukarelawanan dan kemahiran asas seperti pengurusan kewangan dan membuat penjenamaan diri yang diajar sendiri oleh kumpulan bakat yang ada dari YSS.

Persidangan satu hari itu telah berjaya menarik 200 pembentang dari seluruh dunia termasuk Jepun, Pakistan, Jerman, Poland, Kanada, Belanda dan 30 ahli ASEAN University Network serta 470 peserta Program Kesukarelawanan Belia ASEAN dari negara-negara ASEAN.

Tiga lagi persidangan turut diadakan dibawah U4S International Conference iaitu 5th AsiaEngage Regional Conference, UM Academia-Community Engagement (UMACE) dan Symposium dan 4th APUCEN SUMMIT.

Antara yang turut hadir dalam persidangan di alam maya ini ialah Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd. Marzuki Mustafa (menjalankan tugas Naib Canselor UKM), Naib Canselor UM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, Naib Canselor USM, Prof. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Pengerusi University For Society International Conference, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah.