Universiti Perlu Tingkatkan Keupayaan Digitalisasi – Timbalan Menteri KPT


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 8 September 2021 – Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Dr Ahmad Masrizal menekankan bahawa setiap universiti perlu meningkatkan keupayaan digitalisasi di dalam kampus selari dengan era Industri 4.0 (IR 4.0).

Beliau berkata elemen-elemen seperti Internet of Things (IOT), Sistem Physic Cyber (CPS), Artificial Intelligence (AI) dan yang berkaitan adalah penting dalam pendigitalan ekosistem pendidikan tinggi negara.

“Digitalisasi dalam ekosistem pendidikan tinggi negara pasti akan mampu menjadi satu wadah utama pada tahun-tahun mendatang. Maka, intervensi-intervensi akademik perlu dilakukan oleh setiap Universiti di negara ini tidak kira di IPTA ataupun di IPTS agar ianya selari dengan keperluan IR 4.0,” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa lawatan kerja ke Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menaruh keyakinan yang tinggi terhadap keupayaan pihak pengurusan Universiti untuk memastikan agenda ini dapat dijayakan dengan sebaiknya.

“Ini waktunya untuk berfikir secara kreatif dan melaksanakan perubahan besar. Jika kita bersatu untuk menjayakan objektif ini, negara bukan hanya akan pulih daripada pandemik ini sebaliknya melakukan lonjakan digital untuk generasi masa depan,” katanya.

Beliau berkata kepentingan pendidikan digital dalam arus Revolusi Industri 4.0 membantu meningkatkan daya persediaan melalui pendedahan realiti dan praktikal kepada bakal pemimpin masa hadapan negara dalam pelbagai sudut sektor dan industri. KPT akan mendokong penuh semua usaha ini.

Selain itu, Dr. Ahmad Masrizal juga menegaskan bahawa pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah kepimpinan Dato’ Seri Dr. Noraini Ahmad amat mengambil berat akan perihal peri pentingnya universiti meningkatkan usaha untuk memberi fokus kepada kemenjadian graduan.

Bagi beliau elemen berkenaan adalah satu pra syarat penting yang akan mampu membentuk sebuah negara bangsa yang mempunyai karakter hebat setanding dengan karakter bangsa-bangsa lain di dunia.

Kunjungan beliau juga turut disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof. Ir. Dr. Rubiah Yunus.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, sesuai dengan penubuhan UKM sebagai universiti watan, UKM berperanan untuk menjana, menyebar dan menerapkan ilmu secara strategik dan inovatif bagi memperkasakan kualiti budaya bangsa dan kemakmuran masyarakatnya.

“UKM juga akan sederap membantu kemeterian dan kerajaan bagi memastikan imuniti kelompok dapat dicapat sepenuhnya pada penghujung tahun ini,” katanya yang turut memaklumkan bahawa UKM adalah satu-satunya universiti yang membantu program vaksinasi kebangsaan melalui tiga inisiatif iaitu Pusat Pemberian Vaksin PPV@IPT Dewan Gemilang, PPV Bergerak Hospital Canselor Tuanku Mukhriz dan perkhidmatan pemberian vaksin secara pandu lalu di Hospital Pakar Kanak-kanak.

Pada lawatan tersebut, Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Roslee Rajikan turut memberi taklimat mengenai persediaan dan kesiapsiagaan UKM untuk menerima kemasukan pelajar di kampus UKM bagi sesi akademik 2021/2022 bermula Oktober ini.