Wacana ATMA Raikan Proses Penyuburan Warisan


Oleh: Muhammad Zaim Badrul Hisham

Foto: Pusat Komunikasi Korporat UKM

BANGI, 7 Mei 2018 – Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA-UKM) dengan kerjasama Kluster Sejarah, Warisan & Sosio Budaya serta Kluster Perpaduan Nasional Majlis Profesor Negara telah menganjurkan suatu siri wacana warisan nasional yang bertajuk Warisan Siam Kelantan Semperna Memperingati Siri Neng Buah.

Menurut Pro Naib Canselor Penjanaan dan Prasarana UKM, Ybhg Prof. Dato’ Dr. Nor Ghani Md. Nor, wacana ini berhasrat untuk menunjukkan dan meraikan proses penyuburan warisan setiap warisan ibunda dengan memberi tumpuan warisan komuniti Siam di Kelantan.

“Pemilihan untuk memberi tumpuan kepada komuniti ini amat bertepatan sekali.

“Kurangnya kesedaran dan pengetahuan tentang komuniti Siam menyebabkan tidak ramai maklum signifikasi penglibatan dan sumbangan komuniti Siam di Malaysia,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut di Bilik Senat, Canselori UKM.

Tambahnya lagi, mendiang Siri Neng Buah adalah contoh terbaik yang merentas batas etnik dan warisan Siam dalam menyulam sama antara kerjaya dan kehidupan dengan warisan nasional yang mentakrif jati diri dan semangat negara bangsa Malaysia.

Wacana ini turut menampilkan YBhg. Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin yang merupakan Pengarah Pengasas KITA-UKM sebagai pengucap tama.

Manakala barisan panel terdiri daripada En. Che Adnan Che Kadir, Dr. Lim Swee Tin, En. Pim a/l Chau Dam dan En. E Pian a/l Pro Paul serta YBhg. Prof. Dato’ Dr. Teo Kok Seong sebagai moderator.