Wanita Perlu Lengkapkan Diri Kenali Persekitaran Dunia Siber – Datuk Seri Rina


Oleh: Nurhairani Syam Lahmuddin
Foto: Ikhwan Hashim

BANGI, 29 September 2021 – Wanita perlu melengkapkan diri mengenali persekitaran dunia siber agar tidak mudah terpedaya dengan segala muslihat dan tipu daya, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata wanita juga perlu bersedia dan bijak dalam mendepani dan menangani cabaran alam siber yang mendatang.

“Bengkel ini menjadikan wanita celik undang-undang, yang merupakan amalan terbaik di alam siber. Besarlah harapan saya agar para peserta mampu mengurus emosi, serta celik dan cakna akan ancaman daripada penjenayah siber,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Bengkel Wanita Malaysia IR4.0 Bebas Jenayah Siber, yang diadakan secara dalam talian.

Datuk Seri Rina berkata beliau kagum dengan semangat para wanita yang menjadi peserta bengkel tersebut.

Beliau berharap agar peserta bengkel mendapat banyak manfaat dari bengkel itu untuk dikongsi dengan masyarakat sekeliling.

Bengkel yang bertemakan “Cegah, Celik, Cakna” adalah anjuran bersama antara Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat UKM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, International Muslim Women Union (IMWU), CyberSecurity Academia Malaysia (CSAM), Universiti Malaya (UM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), CyberSecurity Malaysia (CSM) dan IEEE Women in Engineering (WIE).

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata UKM menghargai segala kerjasama yang dibuat selaras dengan strategi hala tuju UKM untuk menjadi peneraju bagi mencari penyelesaian terhadap permasalahan masyarakat menerusi jalinan hubungan dengan pelbagai agensi kerajaan, industri dan komuniti.

“Program ini juga amat bermanfaat bagi memberi pendedahan kepada masyakarakat mengenai jenayah siber yang merupakan jenayah komputer yang serius dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata jenayah siber memberi impak kerugian yang membimbangkan sepanjang pandemik COVID-19 ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, dimana majoriti rakyat Malaysia bekerja dalam talian.

“Saya berharap agar program ini memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap jenayah siber,” katanya.